suria

Sufi Rashid kesal individu mengemis tiket konsert percuma, jual harga rahmah pun tak nak sokong

Sufi kesal dengan sikap segelintir individu yang mahu tiket percuma.

PENYANYI Sufi Rashid menyelar tindakan segelintir individu berpengaruh yang tidak mahu menyokong industri muzik tempatan dengan meminta tiket konsert secara percuma. 

Sufi atau Muhammad Sufi Ahmad Rashid, 34, berkata, fenomena ini dilihat tidak adil kerana respons terhadap konsert artis antarabangsa dilihat berbeza apabila rata-ratanya menerima sokongan ramai, termasuk meminta penambahan hari konsert. 

Tegas Sufi, dia berharap orang ramai dapat memberikan sokongan terhadap kerjaya seni anak tempatan bagi memperkukuhkan lagi industri hiburan tanah air. 

Perkongsian Sufi di Threads miliknya.

"Sebenarnya perkara ini bukan kali pertama terjadi, saya tidak tahu ia secara kebetulan atau tidak. Setiap kali kalau konsert artis tempatan seperti Ernie Zakri dan Insomniacks, ada sahaja yang minta tiket percuma. 

"Bila ada konsert artis antarabangsa, bukan cakap fasal nak beli tiket tapi mengadu tak cukup hari (konsert berlangsung).

"Kalau semua nak tiket percuma, macam mana industri hiburan Malaysia nak maju? Macam mana penganjur dan artis itu sendiri nak maju?," katanya kepada mStar. 

ARTIKEL BERKAITAN: Hafiz Suip mahu kongsi cerita dengan peminat di konsert solo... “Bukan nak buka aib, minta simpati atau belas kasihan”

ARTIKEL BERKAITAN: Hafiz Suip beri bayangan konsert sulung, kali ini netizen tak kisah harga tiket mahal… “Ambillah duit saya!”

Sufi bagaimanapun enggan mendedahkan butiran lanjut berkenaan individu tersebut namun tidak menafikan beliau mempunyai pengikut yang ramai di media sosial.

"Semua orang nak cari rezeki. Apa yang buat saya lebih marah, tengok akaun media sosial individu tersebut dia seorang duta produk. Saya tak mahu petik nama atau beritahu siapa. 

"Tapi apa yang saya boleh beritahu dia seorang duta produk dan mampunyai pengikut yang ramai. 

Setiap kali kalau konsert artis tempatan ada sahaja yang minta tiket percuma. 

SUFI RASHID

PENYANYI

"Itu yang membuatkan saya bengang. Kita dah keluarkan harga tiket rahmah (berbaloi) kot, kita tak ada pun jual harga tinggi," ujarnya. 

Sebelum ini, Sufi meluahkan rasa kesal di Threads miliknya apabila memuat naik sebuah hantaran seorang individu yang mahu tiket percuma konsert Di Sebalik Aku: Hafiz Suip. 

Sufi yang juga merupakan penganjur konsert menyelar tindakan individu tersebut yang disifatkan tidak menyokong industri hiburan tempatan. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain