PENYANYI Cakra Khan mengumumkan akan berehat daripada mengadakan konsert solo kerana mahu menghiburkan peminat dengan karya-karya baharu.
Kata Cakra atau Cakra Konta Paryaman, 33, keputusan itu dibuat atas faktor sudah tiga tahun berturut-turut dia mengadakan konsert di Malaysia.
"Sebenarnya selepas ini saya mengambil keputusan untuk berehat (dari konsert). Sudah tiga tahun berturut saya mengadakan konsert di Malaysia.
Cakra mahu menghasilkan karya lebih baik buat peminat.
"Saya belum tahu berapa lama akan berehat. Kenapa saya mengambil keputusan ini kerana apabila saya adakan konsert lagi (kemudian hari), saya mahu memberikan lagu baru buat penonton dan tidak mengulangi lagu sama," katanya.
Dalam pada itu, Cakra mengucapkan terima kasih buat semua peminat yang sentiasa menyokong kerjayanya di Malaysia.
Kata Cakra, dia berjanji akan kembali ke Malaysia untuk membawakan lagu-lagu baharu yang lebih baik.
ARTIKEL BERKAITAN: Jatuh cinta dengan masakan mamak, Cakra Khan borong berkotak-kotak mi segera bawa pulang Indonesia
ARTIKEL BERKAITAN: Cakra Khan bela 30 ekor kucing, semuanya kutip tepi jalan... Suka bercucuk tanam ada kebun di rumah
"Terima kasih kepada peminat di Malaysia kerana sentiasa menyokong. Insya-Allah saya akan kembali ke Malaysia dengan karya baru lebih baik," katanya.
Sebelum mengumumkan berita bakal berehat, Cakra sempat menghiburkan peminat di Divine Concert Cakra Khan menerusi 26 buah lagu dalam persembahan penuh tenaga.
Antara lagu-lagu yang dibawakan pada malam konsert termasuk Mencari Cinta Sejati, Setelah Kau Tiada, Harus Terpisah dan Kepada Hati.
Konsert yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menjadi gamat apabila penyanyi Indonesia ini turut menghiburkan peminat dengan lagu Bunyi Gitar nyanyian Seniman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.
Cakra menghiburkan peminat dengan lagu Bunyi Gitar.
Penonton berdiri bersorak gembira sambil menyanyi mengikut rentak lagu.
Sebagai penutup acara dan ucapan selamat tinggal buat peminat, Cakra menghadiahkan lagu I Will Always Love You nyanyian Whitney Houston.
Konsert yang berlangsung selama tiga jam itu turut menampilkan penyanyi jemputan termasuk Marsha Milan, Titi DJ, Ade Govinda, Faisal Lubis dan kumpulan Trio XL.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube