KOMPOSER dan pemuzik berpengaruh, Ross Ariffin yang pernah mengejutkan industri seni apabila dilaporkan hidup sebagai gelandangan meninggal dunia pada usia 63 tahun.
Perkara itu dimaklumkan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil menerusi satu hantaran di Instagram pada Sabtu.
"Saya sangat berdukacita menerima khabar pemergian seorang seniman tanah air, Ross Ariffin, petang tadi.
"Berita tersebut disampaikan pihak Rumah Seri Kenangan Cheras yang menjadi tempat tinggal Allahyarham Ross sejak November tahun lalu.
Kisah arwah pernah mendapat perhatian ramai apabila ditemui berjalan seorang diri tanpa hala tujuan.
"Uncle Ross (panggilan) merupakan komposer yang telah banyak menyumbang kepada industri muzik tempatan," katanya pada hantaran itu.
Menurut Fahmi, beliau pernah beberapa kali bertemu Allahyarham Ross ketika hayatnya.
"Beliau berdepan dengan kehidupan yang mencabar, namun tetap tabah meneruskan perjalanan sebagai anak seni.
"Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman... Al Fatihah," katanya.
Pada Februari tahun lalu, media melaporkan arwah Ross akhirnya keluar daripada status gelandangan apabila menerima kediaman projek perumahan rakyat (PPR) Muhibbah di ibu kota daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selepas mendapat bantuan daripada Fahmi Fadzil.
Kisah Ross atau nama sebenarnya, Roslan Ariffin Jamil mendapat perhatian ramai apabila dia ditemui berjalan seorang diri tanpa hala tujuan.
Dalam satu temu bual sebelum ini, Ross memberitahu dia akan berada di Pasar Seni, Kuala Lumpur selain sekitar Melaka.
Ross sebelum ini merupakan seorang komposer yang banyak menghasilkan lagu-lagu untuk penyanyi popular seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Fauziah Latiff, dan Ning Baizura.
Dalam kerjaya muziknya, Allahyarham Ross pernah menyertai orkestra di London sebagai pemain biola dan juga aktif sebagai pemuzik undangan.