MERAIKAN 40 tahun perjalanan seni yang penuh warna-warni, penyanyi tersohor Datuk Sheila Majid menghadiahkan para peminatnya dengan single terbaharu berjudul Moving On.
Sheila, 60, berkata impiannya sejak sekian lama adalah untuk berkolaborasi dengan seseorang yang tidak mengenalinya secara peribadi mahupun karyanya sebelum ini.
Tanpa disangka, impian tersebut menjadi kenyataan apabila dia berpeluang bekerjasama dengan penerbit muzik terkenal dari Korea Selatan, Hyuk Shin yang dikenali dengan mutu produksi bertaraf antarabangsa.
Sheila mahu kekal dengan identiti sendiir.
"Dia sangat terkenal dengan sikap cerewetnya, tapi saya sebenarnya seronok berkerja dengan dia. Alhamdulillah kami sangat serasi dan dia sangat profesional.
"Berkerjasama dengan seseorang yang tak kenal saya secara langsung sebenarnya menyegarkan, mereka dengar suara saya terus dapat idea. Dia juga akan bentuk sesuatu yang baharu mengenai muzik saya. Kami saling menikmati kerjasama ini," katanya kepada mStar.
Menariknya, proses penghasilan Moving On hanya mengambil masa dua hari dan Sheila turut terlibat secara langsung dalam penciptaan lagu itu.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu sudah selesai, tiada keperluan Sheila Majid ulas royalti lagu ‘Sinaran’
ARTIKEL BERKAITAN: Sheila Majid tak pernah hasut anak-anak menentang bekas suami, terap adab dan rasa hormat pada Roslan Aziz
"Saya terlibat daripada awal dalam penghasilan lagu ini. Kami masuk studio, berbincang dan cipta lagu bersama. Jadi ia bukan macam zaman dulu di mana komposer beri lagu siap kemudian saya dengar dan pilih.
"Kali ini saya benar-benar menjadi sebahagian daripada penciptaan lagu ini dan ia menjadikan ia sangat peribadi dan bermakna," kongsinya.
Menurut Sheila, Moving On membawa mesej penyembuhan, kekuatan, dan kebebasan malah lagu ini disuntik dengan elemen muzik disko era 80-an dan nu-disco kontemporari yang segar.
Sheila teruja berkerjasama dengan individu hebat.
Ia juga menampilkan inspirasi daripada ikon muzik seperti Donna Summer dan Diana Ross, sejajar dengan kecintaannya terhadap groove era tersebut.
"Saya tidak kejar trend, saya mengejar rasa dan jiwa. Lagu ini memberikan saya ilham untuk terus berkarya kerana saya saksikan dunia kini telah berubah. Begitu juga saya. Tetapi saya tetap kenal dengan diri saya," jelasnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube