suria

Ernie Zakri tak lupa asal usul, masih utamakan penggiat seni tempatan... "Saya bangga dengan produk muzik kita"

Ernie sentiasa bangga dengan hasil kerja pemuzik tempatan.

MESKIPUN dilihat kerap bekerjasama dengan komposer dari Indonesia, penyanyi Ernie Zakri menegaskan dia sama sekali tidak pernah melupakan jasa dan peranan penggiat seni tempatan dalam perjalanan seninya.

Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 33, berkata, kerjayanya bermula di Malaysia dan sokongan peminat serta rakan industri tempatan menjadi tunjang utama kepada kejayaannya hari ini.

“Saya orang Malaysia dan kerjaya saya juga bermula di sini. Kerjasama dengan pihak luar itu hanya satu batu loncatan untuk terus berkembang.

Ernie tak pernah lupa asal usul.

“Sebagai penyanyi, saya percaya kita perlu kembangkan bakat ke tempat lain. Saya tidak mahu berdiri di satu tempat sahaja.

“Kita kena kuat berusaha dan tidak hanya bergantung pada satu platform sahaja,” katanya kepada mStar.

Berkongsi lanjut, kata Ernie kerjasama dengan penggiat muzik Indonesia bukan bermaksud dia mengetepikan pengkarya tempatan, sebaliknya membuka lebih banyak peluang untuk memperkenalkan muzik Malaysia di pentas serantau.

Malah, jelas Ernie, dia sangat bangga dengan hasil karya ciptaan anak tempatan yang tidak kurang hebatnya.

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Masing-Masing’ disebut menang AIM24, kategori baharu suntik semangat Ernie Zakri berkarya

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Bukan ‘baby bump’, potongan gaun buat Ernie Zakri nampak macam mengandung

“Selepas ini memang ada beberapa lagi kerjasama dengan pengkarya dari Indonesia. Tapi saya tidak pernah lupa pada penggiat seni di Malaysia.

“Saya juga sedang merancang beberapa projek bersama komposer tempatan dan saya sangat bangga dengan produk muzik kita.

“Saya bangga untuk bawa nama Malaysia ke Indonesia. Apa yang penting, kita kena seimbangkan kerja antara dua-dua negara,” jelasnya.

Saya tidak pernah lupa pada penggiat seni di Malaysia.

ERNIE ZAKRI

PENYANYI

Sebelum ini, Ernie pernah berkolaborasi dengan komposer terkenal Indonesia, Ade Govinda menerusi lagu Hal Hebat dan Masing-Masing yang mendapat sambutan hangat.

Terbaharu, gandingannya bersama penyanyi Indonesia, Anggi Marito menerusi lagu Kisah Penuh Kecewa turut mencuri perhatian peminat di kedua-dua negara.

Dalam perkembangan lain, Ernie dan suaminya iaitu Syamel bakal tampil dengan konsert eksklusif sempena sambutan malam Tahun Baru yang bakal berlangsung di Hotel Le Méridien, Petaling Jaya, Selangor pada 31 Disember depan.

Konsert Nostalgia akan berlangsung pada 31 Disember depan.

Bertemakan Nostalgia, kedua-dua mereka akan membuat persembahan menerusi rangkaian lagu-lagu hit dan klasik.

Lebih istimewa, konsert itu turut disertai DJ Fuzz yang akan menghidupkan suasana menjelang detik 12 malam dengan set muzik yang penuh bertenaga untuk menyambut kehadiran tahun baharu 2026.

Tiket dan tempahan boleh dibuat bermula 8 Ogos ini di laman web rasmi nostalgianye.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain