SELEPAS pengunduran dua penyampai radio, Datuk Fizz Fairuz dan Suraya Borhan, kini pelawak dan pelakon, Fad Bocey diumumkan sebagai wajah baharu yang akan menemani pendengar setia Suria FM.
Menerusi kenyataan rasmi daripada stesen radio berkenaan, Fad atau nama sebenarnya Muhammad Fadzlie Mohd Nizam, 34, telah mula ke udara secara rasmi bermula hari ini.
Fad dan Ajak kemudi segmen Morning-Morning Suria.
Lebih menarik, Fad bergandingan bersama Ajak Shiro dalam segmen pagi dikenali Morning-Morning Suria yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat dari jam 6 pagi hingga 10 pagi.
Menurut Suria FM, gandingan Ajak dan Fad diyakini mampu menyuntik energi segar dan hiburan semula jadi yang dinantikan pendengar, apatah lagi kedua-duanya dikenali dengan karakter spontan dan bersahaja.
Sebelum pengumuman rasmi ini dibuat, penyampai senior Raja Azura atau mesra disapa Kak Engku sempat mengendalikan segmen pagi bersama Ajak dan Kai Hassan selepas kontrak Fizz berakhir pada 18 Julai lalu.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Fizz Fairuz tinggalkan Suria FM, mahu fokus jaga anak-anak
ARTIKEL BERKAITAN: Giliran Suraya Borhan tinggalkan Suria FM, terbuka intai peluang stesen radio lain
Sementara itu, Suraya yang mengendalikan segmen Suria Petang bersama Chiwan turut mengumumkan pengunduran dirinya pada Jumaat lalu.
Dalam perkembangan lain, Suria FM turut memaklumkan pertukaran semula Kai Hassan ke segmen Suria Petang bersama Chiwan yang bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, dari jam 3 petang hingga 7 malam.
Gabungan semula dua penyampai ini disambut baik peminat khususnya mereka yang merindui celoteh santai dan menghiburkan dari duo tersebut.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube