BEKAS anggota kumpulan Raihan, Nazrey Johani bersyukur apabila diberi peluang untuk terus hidup selepas mengalami serangan jantung pada 28 Julai lalu.
Nazrey atau Nazrey Johani Abdullah, 53, berkata, doktor yang merawatnya memaklumkan empat saluran jantung tersumbat dan hanya tinggal satu peratus sahaja harapan untuk bernyawa.
Katanya, dia menahan rasa sakit dada selama dua bulan dan tidak menyangka ia adalah serangan jantung.
Nazrey semasa dilawat ahli kumpulan UNIC.
"99 peratus tersumbat di empat saluran utama dan serangan ini berpunca daripada pemakanan dalam jangka masa yang panjang.
"Doktor pada awalnya beritahu cuma satu peratus saja yang boleh boleh mengepam darah dan membekalkan oksigen ke seluruh badan. Kalau mengikut doktor saya memang tidak dapat diselamatkan.
"Itu kata doktor tapi Allah masih panjangkan usia saya lagi, Alhamdulillah," katanya ketika dihubungi mStar.
ARTIKEL BERKAITAN: “Hati saya tak tenang” - Nazrey dedah punca sebenar keluar Raihan, tak mahu hidup dalam dunia populariti
ARTIKEL BERKAITAN: Nazrey Johani setuju buat kemunculan di konsert ulang tahun Raihan, tunggu surat jemputan
Berkongsi mengenai keadaan dirinya selepas menjalani rawatan angiogram pada 29 Julai lalu di sebuah pusat perubatan di Sabah, Nazrey berkata keadaannya kini semakin beransur pulih.
"Alhamdulillah saya sudah selesai menjalani rawatan angiogram dengan memasukan dua sten dan empat belon.
"Rasa sakit sudah tiada cuma badan masih belum stabil lagi," kongsinya.
Saya perlu ikut segala nasihat doktor.
NAZREY JOHANI
PENYANYI NASYID
Menurut Nazrey, dia akan mengambil rehat selama sebulan dan memberi tumpuan kepada kesihatan dirinya.
Katanya, buat sementara waktu dia juga tidak boleh melakukan aktiviti berat termasuk mengangkat barang, menunduk, memegang telefon bimbit mahupun menyanyi.
"Dalam masa sebulan ini memang saya betul-betul nak rehatkan diri, jaga pemakanan serta dapatkan tidur yang cukup.
Nazrey berehat untuk sementara waktu.
"Saya perlu berehat daripada menyanyi selama sebulan dan tidak boleh menaiki kapal terbang selama enam bulan. Saya perlu ikut segala nasihat doktor," kongsinya.
Dalam pada itu, Nazrey memberitahu tubuh badannya mungkin sedikit terkejut sebelum ini kerana agak aktif kira-kira tiga bulan lalu selepas menerima jemputan persembahan dan merakamkan lagu di Kuala Lumpur.
"Saya sudah kurangkan aktiviti seni sejak beberapa tahun ini, cuma tiga bulan ini saya kuatkan diri untuk kembali aktif," ujarnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube