suria

[V] Shaheizy Sam nekad berhenti buat adegan mesra... “Dulu mungkin mahu berseronok, sekarang tidak lagi”

PELAKON Shaheizy Sam membuat keputusan untuk tidak lagi melakonkan adegan mesra atau babak bersentuhan dalam mana-mana karya lakonannya pada masa akan datang.

Menurut Sam, 42, keputusan itu dibuat setelah menyedari bahawa elemen sebegitu bukan satu keperluan untuk menghidupkan sesebuah karya atau menyampaikan emosi kepada penonton.

Jelasnya, filem Indera yang menjalani penggambaran sekitar empat tahun lalu merupakan karya terakhir yang mengandungi adegan sebegitu.

Antara babak mesra yang terdapat dalam filem Indera.

"Kalau dapat diputarkan masa, saya memang tak akan buat. Dulu mungkin kerana mahu berseronok dan anggap ia sebahagian daripada kerja, tetapi sekarang tidak lagi.

"Filem Indera menjadi filem terakhir saya yang mengandungi adegan mesra. Selepas ini, saya akan elakkan sepenuhnya," katanya kepada mStar.

Sam berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis tayangan perdana filem Indera di Kuala Lumpur pada malam Selasa.

Tambah Sam, proses kematangan dalam hidup dan kerjaya telah menjadikannya lebih peka dan berhati-hati dalam memilih watak serta babak yang perlu dilakonkan terutama membabitkan aksi yang menyentuh soal batas agama.

ARTIKEL BERKAITAN: Demi tuntutan watak, Zizie Izette puji Shaheizy Sam sanggup tambah berat badan

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Kontroversi filem ‘La Luna’, Shaheizy Sam dah tanya ustaz di Makkah

Katanya, walaupun ia sekadar lakonan tanpa perasaan namun menyedari perkara itu boleh menimbulkan fitnah kepada dirinya dan pelakon gandingan yang dilakonkan oleh Azira Shafinaz dalam filem Indera..

“Sebenarnya saya rasa tak selesa. Masa mengubah manusia. Adegan itu dirakam empat tahun lalu, dan kalau diminta lakukan sekarang, saya tidak akan setuju.

“Kalau dulu saya fikir ia hanya kerja, sekarang saya lebih utamakan hukum hakam. Takkanlah nak pentingkan kerja sampai sanggup langgar batas.  Semuanya soal kematangan. Lelaki memang lambat matang,,” ujarnya.

Dia tak perlu luahkan, saya sendiri yang perlu faham.

SHAHEIZY SAM

PELAKON

Dalam pada itu, Sam berkata isterinya, aktres Syatilla Melvin, tidak pernah meletakkan sebarang syarat terhadap lakonannya. 

Namun, sebagai suami, dia merasakan tanggungjawab untuk lebih memahami perasaan isterinya.

“Dia tak perlu cakap apa-apa pun, tapi sebagai manusia, saya kena faham apa yang dia mungkin rasa. Dia tak perlu luahkan, saya sendiri yang perlu faham.

“Kalau boleh, saya tak mahu dia tonton filem ini. Tapi saya tahu, lambat laun filem ini tetap akan ditayangkan di pelbagai platform,” jelasnya.

Sam memegang watak sebagai Joe dalam Indera.

Filem Indera mengisahkan Joe lakonan Sam yang kehilangan isterinya (Azira) dalam tragedi menyayat hati, lalu terpaksa membesarkan anak perempuannya yang bisu dan pekak secara bersendirian. 

Dalam usahanya meneruskan hidup dan menebus rasa bersalah, Joe menerima tawaran kerja sebagai tukang kebun di sebuah rumah terpencil milik seorang wanita Jawa yang penuh misteri.

Selain Sam, Indera turut dibintangi Sam, Azira Shafinaz, Samara Kenzo, Ruminah Sidek, dan Adlin Aman Ramlie. Indera bakal mula menemui penonton esok. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain