suria

Filem sebagai karya rujukan, Mierul Aiman percaya bukan pengaruh kes buli… Penonton bijak ambil iktibar

Mierul menyifatkan setiap naskhah seni adalah adaptasi daripada kisah masyarakat sebenar.

PELAKON Mierul Aiman tidak menganggap sesebuah naskhah seni dapat memberi pengaruh buruk kepada penonton termasuk gejala buli yang berlaku dalam kalangan anak muda. 

Kata Mierul atau Mohammad Amirul Aiman Norazman, 27, apa yang dipaparkan dalam filem atau drama hanyalah adaptasi daripada situasi yang berlaku di sekeliling. 

Bagi aktor yang pernah terlibat dalam filem bertemakan buli ini, sesebuah karya itu dihasilkan sekadar mahu membuat penonton berfikir atau menjadikan iktibar untuk kehidupan harian. 

"Saya membesar dengan filem, drama siri dan muzik. Saya percaya terjadinya sebuah filem rempit kerana datangnya daripada budaya masyarakat itu sendiri. 

Mierul percaya penonton dapat berfikir baik dan buruk dalam setiap drama yang ditonton.

"Bukan kerana filem rempit itu ditayangkan barulah terjadi isu-isu rempit. Saya rasa semua naskhah yang disiarkan adalah jalan cerita yang dikarang semula daripada kehidupan sebenar. 

"Bagi saya filem atau drama adalah tempat di mana manusia dibuat untuk penonton berfikir tentang sesebuah isu itu," katanya kepada mStar. 

Mierul berkongsi perkara itu ketika ditemui di sidang media pelancaran drama terbitan Viu Malaysia, Seadanya Kita yang diadakan di Aurum Theatre,  TRX, Kuala Lumpur pada Rabu. 

Dalam pada itu, Mierul memberitahu penonton harus bijak mengambil sisi baik dan buruk dalam setiap mesej yang dipaparkan menerusi filem atau drama. 

ARTIKEL BERKAITAN: Lebihkan sayuran dan protein diet cara Mierul Aiman, kadang-kadang sahaja ‘cheat day’

ARTIKEL BERKAITAN: Tayang badan dalam drama, Mierul Aiman sanggup buka baju kerana tuntutan skrip

"Saya percaya masyarakat perlu melihat naskhah filem atau drama itu sebagai satu sumber rujukan untuk menentukan mana yang baik atau buruk. 

"Kita sendiri sudah dididik oleh ibu bapa dan di sekolah untuk mengenal perkara baik dan buruk. 

"Sesebuah filem atau drama itu hanya satu pameran untuk menceritakan pengalaman orang lain," ujarnya. 

Dalam perkembangan lain, Mierul bakal muncul dalam drama arahan Feroz Kader iaitu Seadanya Kita. 

Seadanya Kita mengisahkan Alani, seorang ibu tunggal sedang membina semula kehidupannya bersama anak lelaki bernama Iqi selepas ditinggalkan oleh suami. 

Mierul bakal bergandingan dengan Emma (kanan) dalam drama Seadanya Kita.

Ketika hidupnya mula kembali stabil, kehadiran bekas suami selepas lima tahun, mula mengganggu ketenangan yang Alani kecapi.

Dalam masa sama, Alani bertemu dengan Kerol (lakonan Mierul), penyanyi rock muda yang masih bergelut dengan masa silamnya. Apa yang bermula sebagai hubungan profesional, perlahan-lahan bertukar menjadi satu perasaan yang lebih mendalam apabila Kerol menemui ketenangan dalam keluarga kecil Alani. 

Selain Mierul, drama Seadanya Kita turut dibintangi pelakon Emma Maembong, Shahz Jaszle dan Ara Johari. 

Drama 15 episod ini akan ditayangkan secara eksklusif di platform Viu Malaysia bermula 7 Ogos, setiap Khamis dan Jumaat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain