suria

[V] Mamat Sepah dah terima RM20,000 selepas setahun beri muka, pelik rakan lain belum dapat baki bayaran

PELAWAK Mamat Sepah mendedahkan dia pernah berdepan situasi sama seperti rakan baiknya, Amir Raja Lawak, yang mendakwa belum menerima bayaran tunggakan daripada stesen televisyen Awesome TV.

Bagaimanapun kata Mamat atau Mohd Noor Murad, 40, pihak berkenaan telahpun menjelaskan baki bayaran untuk penglibatan dalam sebuah program sitkom sebelum ini. 

“Apa yang terjadi pada Amir, berlaku juga pada saya. Untuk sitkom bersama Amir itu memang saya berurusan terus dengan pihak stesen TV melalui penerbit di sana.

Mamat akui sudah terima bayaran tertunggak.

“Cuma baki bayaran untuk saya sendiri dah dapat. Dalam semua artis yang bersuara, hanya saya sahaja yang menerima bayaran tersebut,” katanya kepada mStar.

Mamat ditemui pada majlis pelancaran cawangan kedua Restoran Sepah Penyet di Presint 15, Putrajaya pada Sabtu. 

Berkongsi lanjut, menurut Mamat  dia mengambil pendekatan berterus-terang dengan pihak terlibat sehingga isu tersebut dapat diselesaikan kira-kira dua tahun lalu.

ARTIKEL BERKAITAN: Mamat Sepah dan isteri sudah ikhtiar, letak soal anak di tangan Allah

ARTIKEL BERKAITAN: “Nyawa aku hilang berbelas tahun...” - Mamat Sepah kini hos Dol’s Podcast, Shuib mahu sahabat kembali menyinar

“Saya terus hubungi Datuk Adam (ketua pegawai eksekutif) dan isu ini selesai dua tahun lepas. Selama setahun saya beri muka, lepas itu saya WhatsApp, dia balas. 

“Saya minta hutang saya sebanyak RM20,000, baki selebihnya daripada itu saya tak kisah kalau dia tak nak bagi.

“Saya hanya cakap benda yang betul sahaja. Nasib pelawak lain saya tak tahu kenapa mereka tak dapat," ujarnya.

Dalam masa sama, Mamat juga memilih untuk tidak mengulas lanjut apabila isu ini telah melibatkan tindakan saman terhadap Amir. 

Saya tak faham kenapa dikatakan ada produksi luar terlibat.

MAMAT SEPAH

PELAWAK

Malah dia sendiri tidak mengetahui akan penglibatan sebuah produksi luar seperti kenyataan yang dikeluarkan oleh Awesome TV. 

“Cuma yang berurusan dengan kami semua adalah pihak stesen TV dan saya tak faham kenapa dikatakan ada produksi luar terlibat.

“Bagi saya, bila perkara ini dibawa ke mahkamah, biarlah peguam yang selesaikan,” jelasnya.

Sebelum ini, Amir menuntut baki bayaran sebanyak RM18,000 daripada Awesome TV selepas hampir tiga tahun menunggu.

Mamat nasihatkan agar diselesaikan melalui undang-undang.

Amir menegaskan mahu bayaran penuh tanpa potongan atau ansuran kerana dana tersebut diperlukan segera untuk menampung kos perubatan bapanya yang menghidap kanser usus.

Selain Amir, rakan pelawak seperti Mamak Puteh, Abu Mamu dan Ammar Titan turut tampil mendedahkan isu tunggakan bayaran yang didakwa belum diselesaikan stesen televisyen tersebut.

Namun, susulan kenyataan mereka, pihak Awesome TV memaklumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Amir, Mamak dan Abu atas dakwaan mencemarkan nama baik stesen itu dengan menabur fitnah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain