suria

Bekas editor URTV, Rosli Manah meninggal dunia

Che Li meninggal dunia akibat jangkitan kuman pada otak.

BEKAS wartawan hiburan Kumpulan Utusan, Mohd Rosli Manah, 57, atau lebih dikenali sebagai Che Li meninggal dunia pada pukul 12.59 tengah hari Selasa akibat mengalami jangkitan kuman pada otak.

Berita duka itu disahkan oleh anak sulungnya, Ilham atau Muhammad Dean Ilham Mohd Rosli, 29, yang memberitahu bapanya sudah menerima rawatan di Hospital Tengku Permaisuri Norashikin, Kajang sejak dua bulan lalu. 

Kata Ilham, arwah Rosli sebelum ini hanya bergantung dengan alat bantuan pernafasan kerana mengalami beberapa komplikasi selepas menderita penyakit diabetes sejak tajuh tahun lalu. 

Rosli sudah lebih dua bulan menerima rawatan di hospital.

"Ayah saya meninggal dunia pada 12.59 tengah hari tadi. Dia sudah dirawat di hospital selama dua bulan lebih. 

“Sebelum dia dimasukkan ke hospital, ayah tidak berapa sihat dan kemudian tidak sedarkan diri. 

"Seminggu selepas itu, ayah mengalami beberapa komplikasi daripada masalah kencing manis sehingga jangkitan merebak ke otak. 

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas editor URTV, Rosli Manah berdepan cabaran hidup… Alami jangkitan kuman dalam otak

ARTIKEL BERKAITAN: Bekas wartawan, penerbit majalah Pesta Fauziah Rauf meninggal dunia

"Ayah memang bergantung pada bantuan mesin oksigen," katanya kepada mStar. 

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Masid Jamek Pekan Kajang dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam (baharu) Sungai Kantan selepas solat Asar.

Sementara itu, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham. 

Menerusi perkongsian di Instagram miliknya, Fahmi turut menyifatkan arwah seorang wartawan yang berjasa dalam usaha memartabatkan industri hiburan tanah air selama lebih tiga dekad.

“Takziah kepada keluarga bekas editor hiburan, Rosli Manah. Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman,” tulisnya.

Sebelum ini Che Li diuji dengan cabaran hidup apabila disahkan mengalami jangkitan kuman pada otak, malah dia juga menderita penyakit diabetis sejak tujuh tahun lalu.

Untuk rekod, selain menjadi wartawan mahkamah dan hiburan akhbar Utusan Malaysia, Rosli juga pernah menggalas tanggungjawab sebagai Editor URTV dan Editor Mangga di Utusan Karya Sdn Bhd, iaitu anak syarikat Utusan Melayu (M) Berhad.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pernah meluangkan masa menziarahi Rosli dua tahun lalu sambil mengenang jasa dia yang banyak menyokong kerjaya anaknya, Dafi ketika penyanyi itu menyertai Akademi Fantasia ke 5 (AF5) pada 2007.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain