PENYANYI Ning Baizura mendedahkan anak lelakinya, Ryan Sky Dalton pernah menjadi mangsa buli apabila diejek kerana bentuk fizikal selain menerima cemuhan berkaitan keluarganya.
Menurut Ning atau nama penuhnya Ning Baizura Sheikh Hamzah, 50, insiden itu berlaku dalam kalangan rakan sebaya Ryan yang kini berusia 12 tahun dan mengakui perkara itu menyentuh perasaannya sebagai seorang ibu.
“Anak saya pernah dibuli. Sekarang ini buli bukan saja secara fizikal, tapi juga siber.
Ning risau kesihatan mental anak.
“Bila saya tanya macam mana dia dibuli, dia kata rakan-rakan ejek dahi jendul dan kutuk keluarga kami,” katanya kepada mStar.
Ning berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Kilauan Emas 2025 yang berlangsung di Hotel Summit USJ, Subang Jaya, Selangor pada Selasa.
Tidak berdiam diri, Ning mengambil pendekatan tegas dengan menyimpan bukti perbualan dan bertemu sendiri dengan keluarga pelaku terbabit.
“Sebagai ibu, saya ambil tindakan berjumpa dengan keluarga pembuli kerana saya sudah tangkap layar semua mesej sebagai bukti.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Pengorbanan ibu tiada tandingan, kini masa Ning Baizura balas semua jasanya
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Banyak kali terima tawaran akhirnya Ning Baizura setuju sertai Gegar Vaganza, mahu jadi kenangan terindah buat ibu
“Saya juga berbincang secara terbuka dengan mereka sebab bagi saya, komunikasi sangat penting dalam menangani isu sebegini.
“Sebagai ibu bapa perlu tahu apa yang mereka tulis dan macam mana cara mereka bercakap,” jelasnya.
Bagaimanapun, Ning memuji tindakan Ryan yang memilih untuk menyelesaikan isu tersebut secara matang dan tidak memperbesarkan keadaan.
“Bila saya berbincang dengan dia, Ryan kata nak selesaikan sendiri.
“Beberapa hari kemudian dia beritahu semuanya dah selesai. Sekarang masih berkawan dengan mereka, cuma dah tak rapat,” ujarnya.
Ning (kiri) merupakan juri tetap bagi Kilauan Emas 2025.
Untuk rekod Ning mendirikan rumah tangga dengan Omar Shariff Christopher Layton Dalton pada Januari 2008.
Dalam perkembangan lain, Ning menjadi juri tetap bersama pelakon Erra Fazira dan aktor Roy Azman bagi program Kilauan Emas 2025.
Seramai 12 peserta bertanding bagi program itu yang bakal menemui penonton pada setiap Sabtu di saluran 105 (Astro Prima) bermula 16 Ogos depan.
Program ini dikendalikan oleh Elly Mazlein sebagai hos utama, manakala Joey Daud selaku pengacara belakang pentas.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube