suria

GenKRU batal konsert di Pulau Pinang, tak mahu ‘downgrade’ persembahan

Konsert KRU di Pulau Pinang secara rasmi dibatalkan.

KONSERT GenKRU yang dijadualkan berlangsung di Pulau Pinang pada hujung bulan ini secara rasmi dibatalkan.

Perkara itu disahkan oleh Datuk Norman Abdul Halim yang memaklumkan keputusan tersebut dibuat atas prinsip menjaga kualiti persembahan selepas kejayaan konsert mereka di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Mei lalu.

Menurut Norman, pihaknya tidak mahu mengulangi format persembahan yang sama secara berterusan.

Norman mengesahkan konsert KRU di Pulau Pinang sudah dibatalkan.

"Konsert GenKRU itu sudah menjadi satu penanda aras yang sangat besar. Apabila kami sudah meninggalkan tanda aras yang tinggi, kami tidak mahu menurunkannya (downgrade),” katanya kepada mStar.

Perkara itu dikongsikan Norman ketika ditemui pada sidang media Kruniverse hasil kerjasama dengan Unity Trust Berhad yang berlangsung di Putrajaya pada Selasa.

Jelasnya, penganjuran konsert di lokasi selain Kuala Lumpur secara logiknya akan melibatkan kos produksi dan harga tiket yang lebih rendah. 

ARTIKEL BERKAITAN: Edry teruja jumpa kaset lama KRU, mahu bawa pulang ke UK sebagai kenangan

ARTIKEL BERKAITAN: Keputusan bubar bukan gimik, KRU kembali bersatu selepas Edry setuju ulang-alik dari Manchester ke KL

Katanya, keadaan ini secara tidak langsung boleh menjejaskan skala serta nilai produksi persembahan.

Tambahnya, rasa kurang selesa itu mula timbul ketika mereka mengadakan konsert di Singapura pada Jun lalu.

"Kami tak mahu peminat kata, ‘alah, kat KL lagi best’. Kami tidak mahu wujud perasaan seperti itu,” ujarnya.

KRU tidak mahu memberikan gimik sama pada setiap konsert.

Dalam masa sama, Norman memberitahu dua adiknya, Edry dan Yusry juga sangat teliti dan tidak gemar melakukan perkara yang sama berulang kali terutamanya jika peminat sudah boleh menjangka setiap gimik yang bakal dipersembahkan.

"Zaman sekarang ini, semua orang sudah tengok dan rakam. Jadi susah untuk kami buat gimik yang sama. Kalau dahulu, kami boleh buat jelajah seluruh negara dengan jenaka dan persembahan yang sama,” jelasnya.

Sebelum ini, Norman pernah memuat naik hantaran memaklumkan bahawa KRU berehat sementara daripada sebarang konsert.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain