suria

Isu dalam kain bukan perkongsian media sosial, Erma Fatima bimbang berlaku ‘kenduri kecaman’… Tak nafi wujud mak ayah lebih sudu daripada kuah

Erma menganggap tindakan berkongsi masalah keluarga di media sosial hanya mengundang gejala buli siber.

PENERBIT dan pengarah Erma Fatima menasihatkan orang ramai supaya tidak mencampuri kemelut yang berlaku antara pelakon Anna Jobling dan ibunya. 

Erma atau Fatimah Rahmad Ali, 57, berkata, sebagai orang luar kita tidak boleh menghakimi masalah yang dilalui kedua beranak itu tanpa mengetahui punca sebenar. 

Kongsi Erma, sebelum ini dia banyak mendengar cerita tentang isu keluarga melibatkan anak yang sudah mengecapi populariti. 

Kemelut antara Anna (kanan) dan ibu tular di media sosial.

"Banyak cerita aku dengar sebelum ini isu mak ayah dan anak bila anak dah hebat, popular. Tapi ada juga cerita yang aku dengar tak semua tu salah anak. 

"Kadang-kadang ada juga mak ayah lebih sudu daripada kuah. Bukan anak yang kena kejutan budaya. Mak ayah yang culture shocked. Itu pun ada. 

"Jadi kes Anna ini siapa kita untuk menghukum? Hanya mereka sahaja yang tahu kebenarannya. Wallahualam, jadi korang (netizen) tak payahlah menyibuk campur tambah garam gula lagi," katanya. 

ARTIKEL BERKAITAN:Erma Fatima tulis skrip 2 filem tentang ajaran sesat, terbang ke Indonesia buat kajian

ARTIKEL BERKAITAN:Netizen kutuk 'Keluarga Itu' jijik, Erma Fatima papar realiti sumbang mahram - “Masih nak simpan bawah karpet?”

Erma berkongsi perkara itu menerusi sebuah hantaran yang dimuat naik di Instagram miliknya pada Selasa. 

Dalam pada itu, Erma memberitahu perselisihan faham yang berlaku antara ibu dan anak adalah perkara biasa dan setiap tindakan dibuat pasti mempunyai sebab kukuh. 

"Perbalahan emak dan anak itu biasa tetapi kalau perlakuannya luar biasa pasti ada sesuatu yang luar biasa juga berlaku. 

"Bak kata orang, pokok tak goyang tak ada angin kalau bukan tangan kita sendiri menggoyangkannya," ujarnya.  

Erma bagaimanapun berpendapat tindakan berkongsi masalah keluarga di media sosial hanya akan mengundang gejala buli siber yang akan memberi impak negatif kepada individu terbabit. 

"Isu dalam kain bukan untuk perkongsian media sosial. Ini punca buli siber. Kita mengundang pelbagai spekulasi masyarakat. 

Erma menasihatkan orang ramai supaya tidak ikut campur urusan keluargan individu lain. 

"Akhirnya akan terbitnya kenduri kecaman. Siapa akan jadi mangsa? Netizen akan kupas isu luaran tanpa memahami apa terselindung di sebaliknya," katanya. 

Pada Ahad, ibu Anna atau Anna Ellisa Gustin Jobling, 25, Ariz Arop memuat naik foto berada di balai polis sekali gus mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen.

Ketika dihubungi mStar, Ariz mengakui hubungan dia dan Anna kini berada dalam keadaan tegang selain kesal apabila anak kandungnya sendiri sanggup mengambil tindakan undang-undang terhadapnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain