PELAKON Haneesya Hanee meluahkan rasa kesal apabila video lamanya lapan tahun lalu di sebuah kelab malam kembali menjadi bualan netizen selepas tercetusnya kontroversi membabitkan pelakon Anna Jobling dan ibunya, Ariz Ayop.
Menurut Haneesya atau Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan, 25, dia tidak faham mengapa namanya tiba-tiba dikaitkan sedangkan sudah lama tidak menyebut atau membincangkan tentang Anna.
“Dulu aku tak bersuara sebab aku mengaku salah pergi minum di kelab malam. Tapi perkara itu dah lapan tahun berlalu, kenapa tiba-tiba nama aku kena petik bila timbul isu anak-beranak tu?
Haneesya meluahkan rasa kesal itu TikTok milknya pada Khamis.
“Aku dah tak sebut nama si polan (Anna) dah beberapa tahun. Aku tak pernah mengiyakan atau menidakkan dakwaan kononnya dialah yang sebar video itu.
“Netizen yang memandai petik dan sebarkan perkara tak betul. Aku pun tak tahu dia ada masalah dengan mak dia,” katanya.
Haneesya berkongsi luahan itu menerusi sebuah hantaran video di TikTok miliknya pada Khamis.
Pelakon itu mengakui masih berasa malu dan kecewa dengan insiden silam tersebut serta berharap ia dapat dilupakan.
ARTIKEL BERKAITAN: Pesta arak... Haneesya Hanee mengaku salah, gelaran juara Dewi Remaja dilucutkan
ARTIKEL BERKAITAN: “Bukan salah Haneesya Hanee, tapi saya gagal didik anak” - Ibu
“Ingat aku tak malu dan kecewa ke? Bertahun aku cuba supaya orang lupakan kisah silam aku tapi tiba-tiba perkara ni timbul balik.
“Serius aku nak jaga nama baik, aku buat salah sekali tapi kenapa korang nak hukum lagi, korang semua ni Tuhan ke?” ujarnya.
Haneesya turut menegaskan dia tidak peduli tentang kerjaya atau pencapaian Anna, sebaliknya kini hanya mahu mencari rezeki halal untuk menyara keluarganya.
Malah, jika mempunyai wang yang cukup dia berhasrat mengupah pihak tertentu untuk memadamkan video lama tersebut di media sosial.
Gelaran juara Dewi Remaja Haneesya ditarik kerana insiden kelab malam tersebut.
“Kalau korang peminat fanatik si polan tu, aku tak kisah dan tak peduli. Dia banyak tawaran kerja sampai peringkat antarabangsa.
“Aku cuma nak kerja halal bagi keluarga aku makan dan nak perbaiki kehidupan kami.
“Kalau aku banyak duit, dah lama aku bayar peguam saman orang, tapi sumpah aku tiada duit banyak.
“Aku kerja keras sebab nak ada duit untuk upah orang padamkan video lama aku yang tersebar dulu,” katanya.
Untuk rekod, pada tahun 2018, nama Haneesya pernah menjadi perhatian apabila tular video menunjukkan dia bersama rakan-rakan di sebuah kelab malam sekali gus memberi kesan besar terhadap kerjayanya ketika itu termasuk kehilangan gelaran juara Dewi Remaja serta beberapa tawaran lakonan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!