SYARIKAT produksi Skop Productions Sdn Bhd tampil menghulurkan sumbangan sebanyak RM380,000 susulan pelbagai bencana yang melanda negara.
Pengarah Urusannya, Datuk Yusof Haslam berkata, hasrat untuk berkongsi rezeki itu sudah lama disimpan, terutama selepas beberapa filem terbitan syarikatnya meraih sambutan memberangsangkan dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
“Ini memang nawaitu saya, terutama semasa tayangan filem Blood Brothers pada April lalu.
Yusof simpati dengan mangsa bencana.
“Melihat kepada pelbagai bencana yang berlaku, khususnya di Putra Heights, saya terpanggil untuk menyalurkan bantuan sebagai tanda keprihatinan.
“Apa yang termampu, insya-Allah kami bantu,” katanya kepada mStar.
Sumbangan tersebut disalurkan kepada Tabung Kemanusiaan Media Prima semalam.
ARTIKEL BERKAITAN: Bersatu kembali sebagai keluarga, Yusof Haslam teruja sambut lebaran bersama Syamsul
ARTIKEL BERKAITAN: “Semalam kami ada jumpa bersembang”... Yusof Haslam tak berharap Puteri Sarah kembali kepada Syamsul
Yusof berkata, ini bukan kali pertama Skop Productions menghulurkan sumbangan kebajikan, namun kebanyakan bantuan diberikan secara senyap tanpa liputan media.
“Sebelum ini pun kami ada menyumbang, tetapi tidak diwar-warkan.
“Kali ini sumbangannya agak besar dan saya percaya ia boleh disalurkan dengan lebih tersusun kepada mangsa yang memerlukan,” ujarnya.
Tambahnya, beberapa kenalan terdekat turut menjadi mangsa bencana baru-baru ini, termasuk di kawasan Putra Heights, sekali gus menguatkan lagi keinginannya untuk membantu.
Kami mahu berkongsi dengan mereka yang lebih memerlukan.
DATUK YUSOF HASLAM
PENGARAH/PENERBIT
“Ada beberapa kenalan yang terkesan dengan bencana. Saya simpati dan rasa lebih baik bantuan disalurkan menerusi saluran rasmi supaya lebih ramai dapat dibantu,” katanya.
Mengulas lanjut, Yusof menyifatkan sumbangan ini juga sebagai tanda penghargaan kepada rakyat Malaysia yang terus menyokong Skop Productions sejak ditubuhkan hampir 40 tahun lalu.
“Syarikat kami sudah 40 tahun dalam industri, masih bertahan dengan sokongan orang ramai dan anak-anak saya yang aktif menyambung legasi.
Yusof berkongsi rezeki dengan mereka memerlukan.
“Jadi dengan rezeki yang Allah berikan, kami mahu berkongsi dengan mereka yang lebih memerlukan,” katanya.
Sebelum ini, filem Blood Brothers : Bara Naga arahan Syafiq Yusof dan Abhilash Chandra mendapat sambutan memberangsangkan apabila mendapat kutipan RM73 juta dalam tempoh 98 hari tayangan di seluruh negara.
Dalam perkembangan lain, Yusof memaklumkan Blood Brothers 2 dan Sheriff 2 dijangka memulakan penggambaran tahun depan.
“Tahun ini pun ada beberapa filem lain, tetapi tidak menggunakan bajet besar dan masih di bawah arahan Syafiq. Ada juga filem bergenre islamik seram yang akan kami keluarkan tidak lama lagi,” tambahnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!