PROSES serahan dokumen penyanyi dan pelakon, Naim Daniel selesai berhubung kes pertuduhan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan di Mahkamah Sesyen, Putrajaya pada pagi Isnin
Naim atau nama sebenarnya Muhammad Na’im Daniel Baharin, 28, berkata kehadirannya kali ini hanyalah bagi melengkapkan urusan dokumen dan berjalan lancar tanpa sebarang masalah.
“Saya hadir untuk serahan dokumen sahaja dahulu, Alhamdulillah semuanya berjalan lancar. Terima kasih kepada pihak media yang sanggup hadir pada hari ini.
Naim sempat menyapa media di luar mahkamah.
“Harap semuanya bersabar sehingga ada perkembangan terkini daripada kes saya ini, terima kasih,” katanya kepada mStar.
Sementara itu, peguam yang mewakili Naim, Nur Syafiah Athirah Ahmad Shafique memaklumkan prosiding hari ini hanya melibatkan penyerahan dokumen oleh pihak pendakwaan.
“Pada hari ini ditetapkan untuk serahan dokumen di mana pihak pembelaan telah menerima dokumen daripada pihak pendakwaan.
ARTIKEL BERKAITAN: Naim Daniel tiba awal di mahkamah, pukul 7.30 pagi dah sampai
ARTIKEL BERKAITAN: Naim Daniel mengaku tak bersalah lakukan amang seksual remaja perempuan 17 tahun
“Tarikh sebutan seterusnya ditetapkan pada 19 September depan untuk pengurusan kes. Pada waktu itu kita akan lihat sama ada terdapat tambahan dokumen atau tidak,” jelasnya.
Selain Nur Syafiah Athirah, Naim turut diwakli peguam Datuk Amirul Ridzuan Hanif dan Irwan Sumadi.
Mengikut pertuduhan, Naim didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor pada pukul 8.56 malam, 19 Mei lalu.
Naim tiba awal di Mahkamah Sesyen Putrajaya pada Isnin.
Pada 17 Jun lalu, Naim mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Datin M Kunasundary atas pertuduhan tersebut.
Kes berkenaan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.
Mahkamah sebelum ini membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin, berserta syarat tambahan seperti dicadangkan pihak pendakwaan.
Terdahulu, pada 3 Jun lalu, media melaporkan seorang selebriti lelaki ditahan polis selepas didakwa mencabul seorang remaja perempuan di sebuah hotel di Selangor.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!