SETAHUN kembali rapat, pelawak Mamat Sepah merasakan persahabatannya dengan rakan baik iaitu Shuib Sepahtu mempunyai nilai sentimental yang cukup besar meskipun mereka sudah lebih 13 tahun tidak lagi bekerjasama dalam kumpulan sama.
Mamat atau nama sebenarnya Mohd Noor Murad, 40, berkata Shuib merupakan insan pertama yang mencari dan menghubunginya ketika dia melalui detik sukar selepas ditahan pihak berkuasa pada tahun lalu.
“Saya dan Shuib sebelum ini 13 tahun tidak bekerjasama selepas tidak lagi dalam kumpulan sama.
Shuib orang pertama hubungi Mamat selepas dia keluar lokap.
“Tapi dengan dia, persahabatan kami ada sentimental value. Ketika saya kena tangkap tahun lalu, keluar sahaja dari lokap tiada orang cari saya, rakan-rakan artis pun tidak cari saya.
“Saya tak tahu kenapa Shuib cari saya sampai menekan-nekan nak jumpa saya. Kalau ikutkan dia tak perlu ambil tahu fasal saya, tapi dialah orang pertama yang hubungi setiap hari," katanya kepada mStar.
Menurut Mamat detik itu juga menjadi titik tolak mereka kembali bersahabat.
Dalam pada itu, Mamat memberitahu kata-kata semangat daripada Shuib benar-benar menyentuh hati kerana sahabatnya itu cuba mengaitkan ujian mereka sebagai perjalanan yang telah ditentukan Allah SWT.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Mamat Sepah dah terima RM20,000 selepas setahun beri muka, pelik rakan lain belum dapat baki bayaran
ARTIKEL BERKAITAN: Kain ihram berdarah, Mamat Sepah baru sedar pinggang tercucuk objek tajam semasa berasak cium Hajar Aswad
Lebih buatkan Mamat terharu apabila Shuib mengambilnya bekerja sebagai hos bersama bagi program Dol’s Podcast.
“Shuib kata ini perjalanan hidup kita, kita tak tahu apa yang Allah sediakan. Dia cakap, ‘aku kena SPRM, kau kena PDRM, ini perjalanan Allah tentukan… kita kena relaks’.
“Selepas itu kami bertemu dan Shuib sudi ambil saya sebagai pengacara bersama di Dol’s Podcast. Itu membuatkan saya sangat terharu walaupun kami tidak lagi dapat bergabung dalam kumpulan yang sempurna,” ujarnya.
Bercerita lanjut, Mamat berkata sejak kembali rapat, dia melihat Shuib benar-benar berusaha mengenalinya lebih mendalam walaupun mereka tidak banyak meluangkan masa bersama sebelum ini.
Mamat hargai persahabatan bersama Shuib.
“Kami tak banyak momen bersama, tapi sejak setahun kami bersama ini saya nampak dia cuba mengenali saya lebih dekat.
“Saya suka dengan kehidupan sekarang, terutama bila dapat bersama Shuib,” jelasnya.
Untuk rekod, pada tahun lalu Mamat bersama isterinya, Nordiana, ditahan reman selama dua hari oleh pihak polis bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyebaran maklumat dalaman berkaitan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam menerusi aplikasi Telegram.
Pada masa sama, telefon bimbit pasangan itu turut dirampas bagi tujuan siasatan.
Bagaimanapun, kedua-duanya menarik nafas lega apabila tiada sebarang pertuduhan dikenakan ke atas mereka.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!