suria

Samsons janji kejutan besar, bakal nyanyi lagu baharu buat peminat Malaysia

Samsons bakal menjayakan konsert Samsons Live in Malaysia - Kenangan Terindah.

KUMPULAN terkenal Indonesia, Samsons bakal mengadakan konsert Samsons Live in Malaysia - Kenangan Terindah di IDEA Live Arena Damansara 3, Petaling Jaya pada 9 November ini. 

Menurut vokalisnya, Adrian Martadinata sambutan memberangsangkan yang diterima pada konsert yang berlangsung dua tahun lalu memberi kenangan manis sehingga menimbulkan rasa rindu buat dia dan ahli kumpulannya.

“Ramai sekali peminat di Malaysia, malah sambutan konsert sebelum ini juga sangat luar biasa dan mengejutkan kami. Saya tidak sabar untuk bertemu mereka pada November nanti,” katanya kepada mStar.

Samsons janjikan persembahan memukau.

Bagi menghargai peminat di Malaysia, Adrian berkata pelbagai kejutan menanti terutama dalam cara persembahan dan pemilihan lagu yang bakal dilakukan nanti.

Lebih istimewa, dia dan rakan-rakannya juga bakal mendendangkan lagu terbaharu mereka yang tidak pernah dipersembahkan di mana-mana konsert sebelum ini.

Pada malam itu nanti, sebanyak 20 buah lagu dijangka bakal dipersembahkan termasuk karya hit yang dirakam sejak album pertama pada 2005.

ARTIKEL BERKAITAN:Bams hidap kanser lutut, kini aktif menyanyi di gereja

ARTIKEL BERKAITAN:Demonstrasi Indonesia beri kesan besar, Inul Dararista sedih fikir nasib 5,000 pekerja

"Pada malam itu nanti kami akan menyanyikan beberapa lagu baharu yang belum pernah kami nyanyikan di Indonesia," kongsinya.

Dalam perkembangan lain, Adrian turut memberitahu Samsons sedang sibuk menyiapkan album keenam yang bakal dilancarkan tidak lama lagi.

Samsons sediakan pelbagai karya baru untuk peminat.

Katanya, album kali ini tidak hanya memfoksukan kepada kekecewaan namun turut menyajikan para pendengar dengan lagu cinta yang romantis.

"Secara keseluruhan ada 10 buah lagu dalam album baharu, di mana empat daripadanya sudah dilancarkan termasuk Rayu dan Candu. Tajuk album masih belum diputuskan kerana kami masih dalam perbincangan. 

"Uniknya kali ini, lagu yang diketengahkan adalah cinta positif. Ia bukan sekadar tentang patah hati semata-mata. Malah ada juga satu lagu istimewa yang belum pernah kami hasilkan sebelum ini, iaitu tentang betapa sucinya pernikahan," katanya. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain