suria

Tak salah pelakon ‘melobi’ cari kerja, Nadhir Nasar yakin tiada siapa berjaya sekelip mata

Nadhir tidak rasa bertanya tawaran kerja pada pihak produksi satu perkara salah.

PELAKON Nadhir Nasar berpendapat tidak menjadi satu kesalahan buat mana-mana anak seni untuk mengambil inisiatif bertanya atau menawarkan diri kepada pihak produksi bagi mendapatkan peluang berlakon.

Menurut Nadhir atau Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 29, rezeki dalam dunia hiburan bukan sesuatu yang datang bergolek, sebaliknya memerlukan usaha dan kerja keras secara berterusan.

"Bagi saya, tak salah pun. Peluang itu ada di mana-mana dan rezeki ini bukan datang dengan mudah. 

Nadhir percaya rezeki perlu dicari.

"Jadi, kita kena cari… Salah satu cara adalah melalui uji bakat atau bertanya sendiri kepada produksi," katanya kepada mStar.

Berkongsi lanjut, Nadhir berkata dia sendiri tidak pernah melalui situasi seperti itu, namun memahami kesukaran segelintir pelakon terutamanya yang masih baharu dalam industri seni. 

Nadhir juga tidak percaya seseorang boleh mengecap kejayaan dalam masa singkat tanpa melalui pelbagai cabaran dan pengorbanan.

"Saya bermula daripada Hero Remaja, dan sebelum itu saya tak kenal sesiapa pun dalam industri ini. Tak ada nombor pengarah, tak kenal produksi, semua saya mula dari bawah.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Gelang manik di tangan Nadhir Nasar curi tumpuan, rupanya hadiah istimewa daripada peminat 

ARTIKEL BERKAITAN: Nadhir Nasar tertarik aura ‘Mek Kelate’, cari calon isteri asal Pantai Timur sebab suka makan budu

"Setiap orang ada perjalanan masing-masing. Tiada siapa berjaya secara tiba-tiba. Semua ambil masa dan Tuhan dah tetapkan waktu yang tepat untuk setiap orang.

"Saya tak percaya istilah ‘sekelip mata jadi terkenal’. Kejayaan itu perlu dibayar dengan masa, tenaga dan kesungguhan. Ia tidak boleh jadi magik," ujarnya.

Tambah Nadhir, apa yang penting adalah kekal percaya pada diri sendiri dan tidak mudah putus asa dalam mengejar impian.

Bagi saya, tak salah pun. Peluang itu ada di mana-mana dan rezeki ini bukan datang dengan mudah.

NADHIR NASAR

PELAKON

"Rezeki tak pernah salah alamat. Kalau kita yakin dengan apa yang kita buat, teruskan pendirian itu. 

"Kadang-kadang waktu kita hampir nak mengalah, masa itulah Tuhan hadirkan apa yang kita doakan.

"Orang luar tak tahu kesusahan yang kita lalui. Jadi, apa pun kita buat, lakukan sehabis baik," jelasnya.

Barisan pelakon bersama pengarah filem Magik Rompak.

Sebelum ini, pelakon Atiq Azman mencetuskan perbualan dalam kalangan netizen selepas dia secara terbuka bertanya kepada pihak produksi jika ada watak yang sesuai untuk dilakonkan.

Tindakan itu mengundang pelbagai reaksi, termasuk yang menyifatkannya sebagai ‘mengemis kerja’, namun turut membuka mata ramai mengenai realiti sebenar kerjaya sebagai anak seni yang terpaksa bersaing dan mencari peluang sendiri dalam industri hiburan.

Dalam perkembangan lain, Nadhir tampil dengan filem terbaharu lakonannya iaitu Magik Rompak yang sudah mula ditayangkan sejak 5 September lalu menerusi tayangan awal.

Selain Nadhir, pelakon lain yang turut membintangi filem arahan Adrian Teh itu ialah Zul Ariffin, Sharnaaz Ahmad, Amelia Henderson, Yasmin Hani dan Datin Elvina Mohamad.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain