KESERASIAN dalam drama Thariq Ridzuwan: His Treasure membuatkan ramai percaya terdapat hubungan istimewa antara pelakon Qasrina Karim dan Meerqeen.
Malah ada juga dalam kalangan peminat mengharapkan cinta mereka akan terus kekal di luar drama berkenaan.
Menafikan wujud sebarang cinta lokasi, Qasrina, 29, berkata, pandangan tersebut membuktikan mereka berjaya membawakan watak drama itu dengan baik.
Lakonan Meerqeen dan Qasrina menghidupkan jalan cerita drama Thariq Ridzuwan: His Treasure.
"Jika orang bercakap bermakna keserasian kami sampai dan kami mahu orang percaya.
"Saya tidak rasa rimas atau terbeban jika ada yang mengaitkan kami berdua. Kami hanya kawan sahaja. Nak tengok kami bercinta, hanyalah dalam drama," katanya kepada mStar.
Qasrina ditemui ketika majlis tayangan bersama peminat episod 15 drama Thariq Ridzuwan: His Treasure yang berlangsung di Cyberjaya pada malam Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: "Normal untuk melonggarkan sedikit tudung" - Qasrina Karim tak perasan aurat terdedah ketika ‘make up’
ARTIKEL BERKAITAN: Perjuangan Thariq Ridzuwan terus diuji, minggu akhir lebih mendebarkan… “Drama ini hampir sama dengan konflik yang ada dalam novel”
Bercakap tentang drama tersebut, Qasrina sedar tentang pelbagai kritikan penonton sejak awal tayangan apabila mula membandingkan jalan cerita dengan kisah sebenar seperti yang digambarkan dalam novel dengan tajuk sama.
Mengakui setiap komen memberi kesan terhadap dirinya, Qasrina mengambil pendekatan untuk mengabaikan sebarang kritikan supaya dia dapat memberi fokus kepada watak Husniya Radwa.
"Komen dan kritikan orang sangat memberi kesan kepada saya. Pada awalnya sukar untuk mendapatkan rentak watak Radwa disebabkan terlalu mendengar kritikan.
Nak tengok kami bercinta, hanyalah dalam drama
QASRINA KARIM
PELAKON
"Ada yang kata saya dapat watak ini sebab fizikal dan bukan kerana bakat. Saya juga manusia biasa yang ada hati dan perasaan.
"Susah nak bermain dengan emosi ketika berlakon sedangkan dalam kehidupan sebenar tak berhenti dengan perasaan negatif," ujarnya.
Pelakon ini bagaimanapun membuktikan dia berjaya membawa watak tersebut dengan baik apabila penonton mula menerima cara lakonannya perlahan-lahan.
Biarpun begitu, Qasrina akui masih ada kekurangan dalam dirinya yang perlu diperbaiki daripada segi lakonan.
Qasrina terbuka terima komen penonton.
"Tak kenal maka tak cinta. Akhirnya orang boleh terima dengan watak ini. Mereka yang tidak percaya pada awalnya mula sedar selepas menonton drama ini.
"Ada juga babak yang saya rasa boleh dilakukan dengan lebih baik. Semua itu saya ambil pengajaran untuk projek akan datang," jelasnya.
Episod akhir Thariq Ridzuwan: His Treasure akan ditayangkan pada Khamis pukul 9 malam di Astro Ria, serta secara On Demand di Astro GO dan Sooka.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di WhatsApp, Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube