suria

Remy Ishak kecewa ramai pelakon tak serius, pesan jangan kejar populariti… “Kalau nak terasa, silakan”

Remy menegur segelintir pelakon tempatan yang disifatkan kurang serius dalam menghayati watak.

PELAKON Datuk Remy Ishak menegur segelintir pelakon tempatan yang disifatkan kurang serius dalam menghayati watak dan tanggungjawab sebagai anak seni.

Menurut Remy, ramai pelakon kini dilihat tidak bersedia sepenuhnya untuk membawa karakter yang dipertanggungjawabkan.

Katanya lagi, ada juga pelakon yang seakan-akan tidak jelas dengan matlamat sebenar apabila memilih kerjaya sebagai pelakon. 

“Susah nak jumpa yang betul-betul dah. Maaf cakap, kalau nak terasa, silakan. Saya dah jumpa ramai yang belum bersedia dengan karakter yang mereka nak bawa.

Remy bersama barisan pelakon filem Khadam. 

“Saya pun bukan nak cakap sudah bersedia sepenuhnya, tapi sekurang-kurangnya kita cubalah beri hasil yang terbaik untuk filem Malaysia. Kita pun nak tengok filem kita diangkat menjadi lebih baik.

“Tak tahu apa yang mereka kejarkan. Jika betul nak berlakon, pastikan anda serius dengan kerjaya ini. Kalau setakat nak popular, lebih baik layan platform media sosial anda sahaja. Tak perlu masuk bidang ini,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman barisan pelakon filem Khadam di Kuala Lumpur pada Rabu.

Remy berkata, dia sendiri bukanlah datang daripada latar belakang akademik filem, namun tetap menitikberatkan soal disiplin dan tanggungjawab apabila bergelar pelakon.

“Saya sendiri pun asalnya bukan lepasan atau graduan dari sekolah filem. Tapi bila nak buat sesuatu benda kita kena bertanggungjawab. 

ARTIKEL BERKAITAN: Remy Ishak puji filem tempatan, rasa macam hidup semula

ARTIKEL BERKAITAN: Remy Ishak tiada sebab tergugat kehadiran hero muda, pernah rasa jadi pelapis industri

“Saya lihat kebanyakan yang duduk dalam industri tak tahu apa yang mereka nak kejar. Misi mereka dah tak sama dengan pelakon seangkatan saya” katanya.

Dalam pada itu, Remy turut memuji komitmen dan persediaan pelakon dari Indonesia, Aghniny Haque yang turut membintangi filem Khadam.

“Baru sesi 'script reading' (pembacaan skrip) dia dah bagi. Saya jadi macam ‘eh gila ini orang’. 

“Masa kita baca skrip, kita akan ada imaginasi terhadap karakter yang dibawakan. Jadi ketika tiba gilirannya, saya boleh rasa lakonan dia,” katanya.

Selain Remy dan Aghniny, filem Khadam terbitan Red Communications dan Komet Productions turut dibintangi Siti Khadijah Halim, Zarra Zhaff, Karl’ El dan Jun Lojong.

Filem Khadam bakal memulakan penggambaran pada pertengahan bulan ini. 

Filem yang akan memulakan penggambaran pada pertengahan bulan ini bakal diarahkan oleh Shamyl Othman manakala skrip serta lakon layar ditulis oleh Fariza Azlina Isahak.

Filem Khadam mengisahkan Melor yang terpaksa mewarisi saka keluarga selepas kematian ibunya. Apabila saka itu mula menguasai hidupnya, Melor cuba menyelamatkan anak perempuannya daripada mewarisi entiti hitam tersebut.

Khadam bukan sekadar sebuah filem, tetapi ia sebuah penerokaan penuh emosi tentang cabaran seorang ibu dan pilihan yang harus diambil oleh seorang wanita yang hidup dalam desakan dunia, berpaksikan mitos serta budaya Asia Tenggara.

Filem tersebut dijangka menemui penonton di pawagam seluruh negara dan pasaran serantau terpilih pada tahun depan. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain