PADA 14 September 2000, pelakon terkenal Nur Fazura, 42, berdepan kehilangan besar apabila bapanya Sharifuddin Adnan meninggal dunia.
Momen duka itu kembali dikongsikan Fazura menerusi sebuah hantaran video di Instagram meskipun sudah 25 tahun berlalu sejak pemergian insan tersayang itu.
Dalam video terbabit, Fazura didapati mengimbas semula momen dia menggayakan busana rekaan Zaimi Zulkafli yang memaparkan wajah bapanya di bahagian belakang.
Fazura meluahkan rasa rindu terhadap arwah bapanya.
"14 September. 25 tahun berlalu.. takkan hilang cintaku padamu. Al-fatihah... Papa," tulisnya pada ruangan kapsyen.
Ternyata kerinduan seorang anak terhadap bapa yang telah pergi menghadap Ilahi sukar digambarkan dengan kata-kata,l dan hanya doa yang berterusan mampu dititipkan.
Menjengah ruangan komen, rata-rata peminat tampil menzahirkan rasa simpati dan menitipkan kata-kata semangat kepadanya.
ARTIKEL BERKAITAN:“Saya gembira bersama Fatima” - Fazura
ARTIKEL BERKAITAN:“Siapa menjauh itu adalah doa-doa saya yang Allah makbulkan” - Nur Fazura
Menurut salah seorang peminat, kasih sayang yang diberikan sosok insan yang bergelar ayah tidak akan pernah pudar dan tiada galang gantinya.
"September sepatutnya menjadi bulan kegemaranmu, namun rupa-rupanya ia bulan penuh duka. Kami sentiasa di belakangmu, Faz. Tabahkan hati dan terus kuat.
"Cinta pertama dan tidak pernah luntur, adalah ibu bapa kita. Doanya tiada hijab dan terus mustajab. Semoga arwah papa Kak Faz ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
"Al-fatihah buat arwah papa Kak Faz... Menyemai cinta dan sayang buat lelaki pertama yang bertakhta di hatimu kerana yang silam tak pernah benar-benar pergi.
"Tak ada lelaki lain yang mampu ikhlas sayangkan kita selain ayah kita. Percayalah, aku redha tak jumpa kasih sayang sejati dari sosok seorang lelaki kecuali hanya ayah," antara komen peminat.
Difahamkan Fazura kini berada di negara jiran, Thailand bercuti dengan rakan-rakannya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube