suria

“Jangan pernah takut untuk bermimpi besar” - Siti Nurhaliza terima Anugerah Sri Wirama AIM24

Siti menerima pengiktirafan Anugerah Sri Wirama di AIM24.

BIDUANITA Negara Datuk Seri Siti Nurhaliza terus mengukir sejarah apabila menerima Anugerah Sri Wirama di Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands pada malam Ahad. 

Pengiktirafan tertinggi oleh Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) itu diberikan sebagai penghormatan terhadap sumbangan luar biasa Siti dalam industri muzik tempatan selama lebih tiga dekad.

Kata Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 46, dia menzahirkan pengiktirafan tersebut kepada seluruh tenaga kerja di belakang tabir dan peminat yang sentiasa bersama sepanjang perjalanannya bergelar anak seni. 

Siti menzahirkan penghargaan terhadap seluruh tenaga kerja di belakang tabir.

Siti menzahirkan penghargaan terhadap seluruh tenaga kerja di belakang tabir.

"Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan rahmat-Nya, malam ini saya berdiri di sini menerima Anugerah Sri Wirama, satu penghormatan yang sangat besar dalam perjalanan seni saya.

"Jutaan terima kasih kepada AIM dan Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) atas pengiktirafan ini.Anugerah ini bukan sahaja untuk diri saya, tetapi juga untuk semua insan seni yang bersama-sama membina perjalanan saya selama lebih 30 tahun dalam industri.

"Tidak lupa juga kepada peminat yang saya kasihi Sitizoners setia memberi sokongan dan kasih sayang tanpa henti," katanya kepada mStar. 

ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza jawab dakwaan ‘rosak’ di TikTok, hanya mahu ceriakan peminat

ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul raih empat anugerah termasuk Lagu Terbaik AIM24, Belagu II menang Album Terbaik

Siti berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media AIM24 yang diadakan di Arena Of Stars, Genting Highlands pada malam Ahad.

Dalam pada itu, Siti turut mengambil peluang menyampaikan pesanan dan kata-kata semangat buat generasi pelapis industri muzik tanah air.

"Bagi saya, anugerah ini sebuah tanggungjawab untuk terus berkarya, mengangkat martabat muzik tanah air, serta memberi inspirasi kepada generasi baru.

"Kepada adik-adik artis muda, percayalah bahawa kejayaan tidak datang dengan mudah. Apa yang perlu adalah usaha yang berterusan, disiplin yang tinggi, dan keikhlasan dalam berkarya.

"Jangan pernah takut untuk bermimpi besar, kerana mimpi itulah yang akan menjadi api dalam perjuangan kita," ujarnya. 

Siti (kanan) bersama Aina yang membawa pulang empat trofi kemenangan di AIM24.

Siti (kanan) bersama Aina yang membawa pulang empat trofi kemenangan di AIM24.

Untuk info, malam kemuncak AIM24 menyaksikan penyanyi Aina Abdul menang besar apabila berjaya merangkul empat kategori utama termasuk Lagu Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Jangan Mati Rasa Itu. 

Malah Aina turut memenangi kategori Rakaman Album Terbaik (Imaji Deluxe Edition) yang diumumkan lebih awal pada Jumaat. 

Sementara itu, penyanyi Dayang Nurfaizah merangkul trofi bagi kategori Album Terbaik menerusi album berjudul Belagu II sekali gus menerima Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures (MyCV) bagi penghasilan lebih berkualiti.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain