PENYANYI Aina Abdul meraih kemenangan berganda dalam Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) menerusi lagu hit Jangan Mati Rasa Itu, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai salah seorang artis berpengaruh di Malaysia.
Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 32, berkongsi rasa terharu dan menyifatkan kemenangan di AIM24 antara pencapaian paling bermakna dalam kerjaya seninya.
Menurut Aina, lagu tersebut bukan sekadar sebuah karya seni tetapi menjadi cerminan emosi dan perjalanan jiwanya sendiri.
“AIM memang antara anugerah yang saya tunggu dalam hidup saya. Ini boleh dikatakan salah satu anugerah ikonik di Malaysia selain Anugerah Juara Lagu (AJL). Jadi, saya memang mengimpikan untuk menggenggam anugerah ini.
Aina meraih empat kemenangan di AIM24.
“Trofi ini boleh dikatakan penguat terbaru saya untuk berkarya. Terima kasih kepada pihak juri yang meluangkan masa berjam-jam memilih lagu yang terbaik dan akhirnya memilih lagu ini (Jangan Mati Rasa Itu).
“Saya memang sangat tak sangka dihargai seperti ini. Jangan Mati Rasa Itu adalah antara lagu yang sangat bermakna dalam hidup saya,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Aina tidak menafikan bahawa perjalanan dalam industri muzik kadangkala penuh dengan cabaran dan keraguan.
“Saya datang daripada latar belakang sebagai penulis lagu. Kadang-kadang kita rasa, apa yang kita tengah buat dan apa yang kita cuba hendak capai dalam industri ini? Saya akui sebagai seorang penyanyi, pasti ada pelbagai perkara dirasai.
ARTIKEL BERKAITAN: Aina Abdul raih empat anugerah termasuk Lagu Terbaik AIM24, Belagu II menang Album Terbaik
ARTIKEL BERKAITAN: Kali pertama masuk AIM, Aina Abdul raih pencalonan terbanyak
“Kadang-kadang sebagai penulis, perlu menepati ‘deadline’ dan kita buat apa yang perlu. Tetapi saya percaya ilham daripada Allah itu benar dan saya sentiasa berterima kasih kerana dalam titik terendah hidup, Allah sentiasa hadirkan karya ataupun melodi lagu terbaik untuk saya.
“Kadang-kadang mungkin saya fikir saya buat lagu itu untuk menyembuhkan hati yang luka, tapi sebenarnya saya tak sangka lagu itu menyembuhkan hati peminat-peminat dan membantu mereka yang terluka di luar sana,” ujarnya.
Ditanya mengenai kecaman dan kata-kata negatif diterima sepanjang bergelar anak seni, Aina berkongsi tentang bagaimana kritikan yang diterimanya di media sosial pernah memberi kesan emosi, namun lama-kelamaan menjadi pembakar semangat.
“Saya boleh katakan kritikan mereka (netizen) itu walaupun perit untuk saya dengar, tapi benda itu juga yang menguatkan saya secara tidak langsung kerana mereka jugalah nama saya dipetik.
Peminat yang sentiasa memberikan sokongan terhadap kerjaya seni Aina.
“Jadi saya bersyukur walaupun dalam kesedihan itu, ada juga kebahagiaannya iaitu nama saya dipetik di media sosial. Jadi itu pun salah satu anugerah untuk saya apabila orang ingat siapa Aina Abdul.
“Saya berterima kasih kepada Aination yang sentiasa sokong saya. Mereka yang sentiasa menjadi tentera saya. Saya mungkin tak baca semua komen, tetapi mereka baca dan sentiasa menjadi ‘perisai’ saya,” katanya.
Untuk info, malam kemuncak AIM24 menyaksikan Aina menang besar apabila berjaya merangkul empat kategori utama termasuk Lagu Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Vokal Wanita Terbaik menerusi lagu Jangan Mati Rasa Itu.
Malah Aina turut memenangi kategori Rakaman Album Terbaik (Imaji Deluxe Edition) yang diumumkan lebih awal pada Jumaat.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube