PENYANYI JessC terkejut apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Best Asian Pop menerusi lagu berjudul My Style di InterContinental Music Awards 2025 (ICMA) yang berlangsung di Los Angeles pada Ogos lalu.
Kata JessC atau Jessie Chung, kemenangan itu sekali gus mengukuhkan kedudukannya bukan sahaja sebagai bintang Asia, tetapi sebagai artis yang kini semakin diterima di pasaran muzik global.
“Sebenarnya saya tak sangka akan menang anugerah ini. Tapi apapun saya amat bersyukur atas pengiktirafan ini dan anugerah ini adalah milik semua yang menyokong muzik saya selama ini.
Karya JessC diiktiraf di peringkat antarabangsa.
“Muzik adalah kuasa penyembuhan yang menghubungkan hati dan melangkaui budaya,” katanya.
Dalam pada itu, album Mandarin JessC, My Style, mencatat kejayaan besar di China apabila mendominasi carta penstriman dan radio.
Manakala album bahasa Melayu JessC iaitu Dekati pula mendapat sambutan yang sangat menggalakkan di Indonesia.
Bukan itu sahaja, single Inggeris berjudul Six Feet Deep turut berjaya menembusi pasaran Barat apabila diputarkan di stesen radio ternama seperti Z-100 New York, Virgin Radio Vancouver dan KIIS FM Sydney.
ARTIKEL BERKAITAN:Percubaan Jessie Chung Tawan Taiwan Berbaloi
ARTIKEL BERKAITAN:Fauziah Latiff fokus cari ketenangan, belum sedia buka hati kahwin lagi
Kejayaan itu turut diiktiraf oleh barisan juri ICMA yang terdiri daripada pakar muzik dunia yang pernah bekerjasama dengan nama besar antaranya Celine Dion, Selena Gomez dan Ricky Martin.
Mereka menyifatkan karya JessC unik kerana berjaya menghubungkan muzik Timur dan Barat dengan gaya tersendiri.
Lebih manis, kemenangan ini membuka jalan lebih luas buat JessC, malah tidak menolak kemungkinan namanya bakal tercalon ke Anugerah Grammy pada masa akan datang.
JessC bakal adakan konsert pada Disember depan.
Buat peminat tempatan, JessC turut membawa khabar gembira apabila bakal mengadakan My Style World Tour Concert pada 20 Disember depan di Mega Star Arena, Kuala Lumpur.
Konsert itu menjadi acara kemuncak selepas persembahannya di Arena of Stars, Genting Highlands pada Mei lalu habis terjual dalam masa singkat.
Dalam perkembangan lain, JessC bakal memulakan kempen promosi global untuk single terbarunya, One Chance bermula September ini di Amerika Syarikat sebelum meneruskan ke Eropah dan Amerika Selatan dengan sasaran menjelajah 50 negara dan 100 bandar menjelang hujung tahun ini.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube