MALAM kemuncak Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) menyaksikan penyanyi Aina Abdul menang besar apabila berjaya merangkul empat kategori utama di acara yang berlangsung di Arena Of Stars, Genting Highlands pada malam Sabtu.
Lagu hasil sepenuhnya Aina atau Nurul Aina Abdul Ghani, 32, berjudul Jangan Mati Rasa Itu berjaya membawa kemenangan bagi kategori Lagu Terbaik, Lagu Pop Terbaik dan Vokal Wanita Terbaik.
Malah Aina turut memenangi kategori Rakaman Album Terbaik (Imaji Deluxe Edition) yang diumumkan lebih awal pada Jumaat.
Aina muncul sebagai pemenang Vokal Wanita Terbaik.
Dalam pada itu, album Dayang Nurfaizah berjudul Belagu II terbitan Aubrey Suwito, diumum Album Terbaik sekali gus menerima Dana Kandungan Digital (DKK) sebanyak RM200,000 daripada Kementerian Komunikasi melalui MyCreative Ventures.
Selain itu, Dayang turut memenangi kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Semua Bahasa) menerusi lagu Rindu Menyapa.
Penyanyi Faizal Tahir membawa empat trofi kemenangan menerusi kategori Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik nyanyian bersama Datuk M. Nasir menerusi lagu Campak Bintang, Lagu Nasyid Terbaik (Biar Satu Dunia Tahu) bersama Mirwana, Lagu Perpaduan Terbaik (Bendera) dan Lagu dengan Hasilan Video Tertinggi di TikTok (Santai).
ARTIKEL BERKAITAN: AIM24 kembali September depan, perkenal 3 kategori baharu termasuk 'Kolaborasi Bersama Artis/Komposer Luar Negara Terbaik'
ARTIKEL BERKAITAN: Kali pertama masuk AIM, Aina Abdul raih pencalonan terbanyak
Bagi kategori baharu yang diperkenalkan tahun ini, penyanyi Ernie Zakri berjaya memenangi Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik menerusi lagu Masing-Masing hasil ciptaan komposer Indonesia Ade Govinda.
Lagu tersebut juga memenangi kategori Lagu Paling Tinggi Distrim, manakala lagu Aura merangkul trofi Rakaman Lagu Terbaik.
Bagi kategori Artis Baru Terbaik kemenangan milik bintang yang semakin bersinar iaitu Reynald Guntabid yang juga memenangi Vokal Lelaki Terbaik menerusi lagu Lumangad Oku Dika.
Akim & The Majistret menang kategori lagu rock.
AIM24 tahun ini menganugerahkan Anugerah Sri Wirama kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza.
Sejumlah 11 kategori lain turut diraikan dengan setiap pemenang menerima dana RM50,000 merangkumi Artis Baru Terbaik, Lagu Etnik Terbaik, Lagu Nasyid Terbaik, Lagu Tradisional Terbaik, Lagu Perpaduan Terbaik, Lagu Inggeris Tempatan Terbaik, Lagu Cina Tempatan Terbaik, Lagu India Tempatan Terbaik, Lagu Terbaik dan Video Muzik Terbaik.
Acara tersebut dikendalikan pasangan hos serasi, Sherry Al-Hadad dan Alif Satar manakala barisan penghibur terdiri daripada nama besar termasuk Siti Nurhaliza, Ernie Zakri, Exists, Shila Amzah, Black Hanifah, Masdo, Dolla bersama penyanyi hip-hop Thailand Tobii.
Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik milik Ernie (kiri) dan Ade (kanan).
Turut memeriahkan pentas, gandingan istimewa Ernie Zakri bersama Ade Govinda dan Anggi Marito dari Indonesia.
Sebanyak enam kategori diumumkan lebih awal pada Majlis Pra-Anugerah pada 12 September 2025.
Majlis yang bertemakan Kemuncak Segala-Galanya itu disiarkan secara langsung menerusi saluran TV2 dan portal RTM Klik pada pukul 9 malam.
Reynald Guntabid bawa pulang dua trofi di AIM24.
Senarai pemenang AIM24:
Vokal Wanita Terbaik: Aina Abdul (Jangan Mati Rasa Itu)
Vokal Lelaki Terbaik: Reynald Guntabid (Lumangad Oku Dika)
Artis Baru Terbaik: Reynald Guntabid (Lumangad Oku Dika)
Vokal Kumpulan Terbaik: Inteam (Nasab Nabi).
Kugiran Terbaik: Mafidz (Teleportasi)
Vokal Duo/Kolaborasi Terbaik: Faizal Tahir dan Datuk M Nasir (Campak Bintang).
Muzik Video Terbaik: Vodoo (KRU).
Kategori Runut Bunyi Terbaik Di Dalam Filem atau Drama: Hasrat (Amir Jahari).
Lagu Rock Terbaik: Saksama (Akim & The Majistret).
Lagu Pop Terbaik: Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul).
Lagu Rap/Hip Hop Terbaik: Dannok (Salammusik dan Namewee).
Lagu Pop Elektronik Terbaik: Angkat (Mimifly).
Lagu Inggeris Terbaik: My Home Is In Your Arms (Daiyan Trisha).
Lagu Cina Tempatan Terbaik: Divorce In Ghana (Firdhaus).
Lagu India Tempatan Terbaik: Pothum (Sheezay Hashmita).
Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara: Bertengkar Manis (Rossa dan Barsena Bestandhi).
Kolaborasi Artis Tempatan Bersama Artis atau Komposer Luar Negara Terbaik: Masing Masing (Ernie Zakri dan Ade Govinda).
Lagu Nasyid Terbaik: Biar Satu Dunia Tahu (Faizal Tahir dan Mirwana).
Lagu Etnik Terbaik: Cinta Setandan Pisang (Den Manjo dan Eda Ezrin).
Lagu Perpaduan Terbaik: Bendera (Faizal Tahir).
Lagu Tradisional Terbaik: Canda Citra Cinta (Hazra).
Album Terbaik: Belagu II (Dayang Nurfaizah).
Lagu Terbaik: Jangan Mati Rasa Itu (Aina Abdul).
Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu (Semua Bahasa): Rindu Menyapa (Dayang Nurfaizah).
Kulit Single/Album Terbaik: Iman (Ismail Izzani).
Rakaman Album Terbaik: Imaji Deluxe Edition (Aina Abdul).
Rakaman Lagu Terbaik: Aura (Ernie Zakri).
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube