IMPIAN penyanyi Eda Ezrin untuk membawa pulang trofi Anugerah Industri Muzik ke-24 (AIM24) akhirnya menjadi kenyataan apabila lagu Cinta Setandan Pisang nyanyiannya bersama Den Manjo diumum pemenang kategori Lagu Etnik Terbaik pada acara yang berlangsung di Arena of Stars, Genting Highlands, Pahang pada malam Ahad.
Karya ciptaan Eddie Hamid tersebut mengetepikan saingan empat lagu lain iaitu Menyantun Kasih (Siti Nordiana), Magis (Datuk Seri Siti Nurhaliza), Kalam (Shiha Zikir) dan Oh Huminodun (Elica Paujin).
Eddie ketika berucap di atas pentas AIM24.
Kemenangan itu turut membolehkan mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 menerusi peruntukan Dana Kandungan Digital (DKD).
Menurut Den Manjo, dia bersyukur atas kemenangan buat kali pertama lagu dialek Kelantan di acara berprestij itu.
“Saya bersyukur kerana ini lagu Kelantan pertama yang menang di AIM. Alhamdulillah, terima kasih ‘sek kito jange pecoh’,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Rasa macam mimpi, Eda Ezrin harap lagu ‘Bea Soba Bea’ menang di AIM24
ARTIKEL BERKAITAN: Eda Ezrin kongsi pengalaman tirai besi, boleh beli biskut dan alat solek sendiri
Sementara itu, Eddie mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terus menyokong karya berteraskan budaya tempatan.
“Terima kasih kepada semua yang sentiasa menyokong lagu Kelantan dan dikir barat seperti ini,” ujarnya.
Terdahulu, Eda ketika ditemu bual mStar memberitahu pencalonannya di AIM24 sudah cukup bermakna, malah dia berharap lagu Bea Soba Bea yang turut dipertaruhkan mampu memberi tuah.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube