suria

Dulu jualan restoran tak sampai RM80 sehari, kini Danial Zaini berjaya lunaskan semua hutang

Danial pernah dapat hasil jualan hanya RM80 sehari.

PELAWAK dan usahawan, Danial Zaini, berkongsi pengalaman pahit apabila restoran miliknya, Paku dan Pontianak pernah berdepan kecaman hebat sehingga menjejaskan operasi dan jualan.

Menurut Danial atau Mohamad Danial  Mohd Zaini, 32, ketika restoran itu tular di media sosial kerana menerima pelbagai kritikan, hasil jualan harian pernah jatuh merudum sehingga hanya mencapai RM80 sahaja.

"Zaman restoran saya viral dan kena kecam dulu, pernah satu hari jualan tak sampai RM80... rasa macam buka kedai pisang goreng.

Danial terpaksa keluar duit sebanyak RM30,000 demi restorannya terus bertahan.

"Bayangkan macam-macam saya kena tanggung waktu itu termasuk gaji pekerja, sewa tempat, bil utiliti dan hutang bank. 

"Saya terduduk bila terjadi perkara tersebut. Sampai minum air pun isteri saya yang bayar, RM30 waktu tu," katanya kepada mStar.

Menyedari situasi semakin parah, Danial mengambil keputusan untuk menggunakan wang simpanan sendiri sebanyak RM30,000 demi memastikan restoran tersebut dapat terus bertahan.

ARTIKEL BERKAITAN: Danial Zaini tegur budaya pelawak stand-up, guna isu sensitif untuk viral... Siap buka baju atas pentas 

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu Danial Zaini kerja angkat kamera, kisah sedih tolak motosikal pancit... Minat ekonomi cita-cita jadi PM

Pengalaman itu mengajarnya untuk tidak bergantung kepada perkara viral semata-mata, sebaliknya perlu menitikberatkan soal kualiti makanan dan perkhidmatan.

"Waktu tu memang saya bertahan habis-habisan. Sebab tu orang kata, perniagaan bukan untuk kejayaan cepat. Banyak kena belajar dan hadap. 

Pernah satu hari jualan tak sampai RM80.

DANIAL ZAINI

PELAWAK/USAHAWAN

"Bila kedai viral, tak semestinya bagus. Saya sendiri akui masa itu tak cukup baik. Lepas tukar chef dan perbaiki menu, Alhamdulillah sekarang semuanya semakin baik," ujarnya. 

Kini, operasi perniagaan kembali stabil dan semua hutang telah diselesaikan. 

Danial tak rancang buka cawang lain dalam masa terdekat.

 

Berkongsi lanjut, Danial menjelaskan dia tidak tergesa-gesa untuk membuka lebih banyak cawangan, sebaliknya mahu mengekalkan kualiti dan kawalan operasi di restoran sedia ada.

"Saya ambil konsep macam nasi kandar – bila buka banyak cawangan, kuah pun boleh jadi ‘ceroi’.

"Bagi saya, biarlah kukuh dulu satu ni untuk 10 tahun. Bila dah betul-betul stabil, baru saya fikir nak buka di tempat lain," jelasnya. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain