suria

Tidak perlu jelaskan apa-apa, Niezam Zaidi, Fify Azmi masih ‘partner’

Niezam dan Fify masih mempunyai hubungan istimewa.

PELAKON Niezam Zaidi enggan memberikan sebarang penjelasan lanjut mengenai status hubungannya dengan aktres Fify Azmi meskipun sering menjadi perhatian netizen.

Menurut Niezam atau Mohd Niezam Mohd Zaidi, 33, orang luar terlalu cepat membuat spekulasi walhal hubungan mereka baik-baik sahaja.

“Netizen sahaja yang kecoh, kami okay sahaja. Bagi saya tak perlu nak jelaskan apa-apa pun.

Niezam enggan berkongsi lebih lanjut tentang hubungan cintanya dengan Fify.

“Bila saya cakap kami partner (pasangan), maksudnya partner sahajalah,” katanya kepada mStar.

Niezam berkongsi perkara itu ketika ditemui pada tayangan perdana filem Tembuni Berdarah yang berlangsung di GSC Mytown Shopping Centre, Cheras pada malam Rabu.

Ditanya sama ada mereka merancang ke fasa seterusnya, Niezam tidak menolak setiap pasangan bercinta pasti mahu pengakhiran yang baik.

Katanya, tiada siapa yang menjalinkan hubungan semata-mata untuk berpisah di tengah jalan.

ARTIKEL BERKAITAN: Niezam Zaidi guna ‘wallpaper’ Fify Azmi bertudung di telefon bimbit, netizen syak sudah kembali bercinta

ARTIKEL BERKAITAN: Anggap tiada jodoh, Fify Azmi sahkan hubungan dengan Niezam Zaidi sudah berakhir

“Macam biasa sahaja sekarang. Tiada orang jalinkan hubungan istimewa untuk putus di tengah jalan, semua nak berakhir dengan perkahwinan.

“Kami cuma follow the flow… pada masa sama perancangan itu ada, cuma semoga apa yang dirancang dipermudahkan segala urusan,” jelasnya.

Pada Jun lalu, Fify mengesahkan hubungan cintanya bersama Niezam sudah berakhir, sekali gus membuatkan ramai menyangka kisah mereka berdua sudah menjadi sejarah.

Bila saya cakap kami partner (pasangan), maksudnya partner sahajalah.

NIEZAM ZAIDI 

PELAKON

Namun Niezam kembali mencuri perhatian apabila segmen Korek Kereta kendalian penyampai Suria FM, Kai Hassan memaparkan gambar Fify bertudung sebagai ‘wallpaper’ di telefon bimbitnya.

Video itu menjadi tular di media sosial sehingga peminat membuat spekulasi hubungan mereka masih belum berakhir.

Sebelum ini, pasangan itu juga pernah dilihat bermain sukan pickleball bersama hingga mencetuskan lagi khabar angin mengenai kemungkinan mereka kembali bercinta.

Niezam anggap Fify sebagai seorang 'partner'.

Dalam perkembangan lain, Niezam bakal tampil dengan filem terbaharu lakonannya berjudul Tembuni Berdarah.

Selain Niezam, filem arahan pengarah Dr Ahmad Idham itu turut dibintangi pelakon lain seperti Sophia Albarakbah, Khatijan Tan, Sharifah Shahora dan Riezman Khuzaimi.

Filem berkenaan akan mula ditayangkan di seluruh pawagam tanah air pada 25 September 2025 ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain