PENYANYI Naim Daniel mengaku kehilangan beberapa peluang pekerjaan sepanjang berdepan perbicaraan kes dakwaan amang seksual terhadap remaja perempuan berusia 17 tahun.
Naim berkata, dia melihat setiap ujian yang berlaku sebagai proses untuk mematangkan dirinya.
“Ini bukan perjalanan mudah. Sudah tentu ada perkara yang saya terlepas.
“Tapi saya percaya setiap ujian hadir untuk mendewasakan saya. Hidup mesti diteruskan.
Naim percaya ujian datang adalah untuk mendewakan dirinya.
“Jadi saya sibukkan diri dengan perkara yang berfaedah,” katanya kepada mStar.
Bagaimanapun Naim atau nama sebenarnya Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, bersyukur kerana masih mendapat peluang menyanyi namun kini lebih memberi tumpuan kepada kerja penulisan lagu.
“Alhamdulillah, saya masih menerima tawaran persembahan, namun saya lebih berhati-hati dalam memilih tawaran.
“Buat masa ini, saya mahu beri tumpuan penuh terhadap penulisan lagu kerana itu saluran terbaik untuk saya berkarya.
ARTIKEL BERKAITAN: Mangsa minta dibicarakan melalui pautan video, Naim Daniel buat permohonan bantahan
ARTIKEL BERKAITAN: Naim Daniel solat Subuh di mahkamah, syukur urusan dipermudahkan
“Ia juga tanggungjawab saya sebagai penyanyi dan anak seni,” katanya.
Menurut pelantun lagu Sumpah itu, dia turut ingin memastikan kesihatan mentalnya berada dalam keadaan baik selain ingin kekal positif.
“Saya pastikan sentiasa berada dalam kalangan insan tersayang termasuk keluarga dan rakan-rakan.
“Selain itu, saya juga ingin kekal cergas. Kalau diri sendiri tidak sihat, bagaimana saya mahu jalani hari dengan baik?
“Cukup tidur, fokus dan kekalkan inspirasi dalam penulisan lagu,” ujarnya.
Naim lebih berhati-hati dalam menerima tawaran persembahan.
Pada Jumaat, Mahkamah Majistret menetapkan 15, 16 dan 18 Disember ini sebagai tarikh perbicaraan bagi kes tersebut.
Terdahulu, pada 18 Ogos lalu, Naim hadir ke Mahkamah Sesyen Petaling Jaya bersama peguamnya bagi menyerahkan dokumen pembelaan berhubung kes berkenaan.
Pada 17 Jun lalu, Naim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun 7 bulan di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, kira-kira pukul 8.56 malam pada 19 Mei 2025.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube