PELAKON Putri Jannah sebak apabila buat kali pertama dapat bertentang mata dengan abang (sebapa) selepas hampir dua dekad terpisah tanpa sebarang komunikasi.
Momen penuh emosi yang berlaku pada 31 Ogos lalu itu disifatkan sebagai 'kemerdekaan sebenar' dalam hidupnya apabila Putri atau nama sebenarnya Putri Syahadah Nurjannah Izwandy, 21, dapat bertemu lelaki yang selama ini hanya dikenalinya melalui sekeping foto lama.
Difahamkan, abang Putri merupakan pemain bola sepak pasukan KL City FC, Izreen Izwandy yang hadir membawa khabar gembira apabila menjemput Putri dan ahli keluarganya ke majlis perkahwinanya.
Momen kali pertama Putri (kiri) bertemu Izreen.
“Memang saya terkejut dan tak sangka akan jumpa abang. Saya sangat gembira. Pertemuan pada 31 Ogos lalu adalah kali pertama kami dan merdeka untuk saya.
"Saya macam tak percaya kami dapat berjumpa. Abang saya datang sebab nak jemput ke hari pernikahannya. Bukan saja dapat jumpa abang, malah kini saya ada kakak (ipar),” katanya kepada mStar.
Menurut Putri, sejak kecil dia sudah mengetahui kewujudan abang kandungnya hasil pendedahan ibunya yang menunjukkan surat beranak serta sekeping foto Izreen sewaktu kecil.
Malah Putri mengakui sering merasakan kehilangan sepanjang membesar tanpa abang, malah hanya mampu menjejaki perkembangan Izreen dari jauh melalui media sosial.
ARTIKEL BERKAITAN: Isu Puteri Jannah didakwa beli ‘likes’ selesai... Penganjur KNKV Viral Award 2024 perjelas salah faham, bukan tuduh tapi sekadar ‘alert’
ARTIKEL BERKAITAN: Dapat undian tertinggi, nama Puteri Jannah gugur didakwa beli ‘likes’... Ibu minta penganjur Anugerah KNKV perbaiki sistem
“Saya dah tahu sejak kecil lagi yang saya ada abang berlainan ibu sebab umi ada tunjuk surat beranak dan gambar abang waktu kecil. Ketika itu umur saya baru tiga tahun. Saya tak pernah terfikir akan jumpa abang.
“Ketiadaan dia ibarat satu kehilangan dan saya selalu ingat tak dapat jumpa dia lagi melainkan jika kami ‘skodeng’ tentang abang di media sosial,” ujarnya.
Menariknya, Putri turut meluahkan rasa syukur kerana hubungan kekeluargaan kedua-dua pihak berada dalam keadaan baik walaupun tidak pernah berhubung sebelum ini.
Putri (kiri) ketika menghadiri majlis kahwin Izreen.
Ketika ditanya mengenai sebab perpisahan dan mengapa pertemuan itu lambat terjadi, Putri memilih untuk tidak menyalahkan sesiapa dan memegang prinsip bahawa setiap manusia tidak terlepas dari kekhilafan.
“Apapun saya bersyukur saya ada dua ibu, umi dan mama Mas (ibu abang Izreen). Hubungan umi dan mama pun memang baik dari dulu walaupun abang tak pernah berhubung dengan kami.
"Umi dan abah memang ada niat nak jumpa abang tapi ada sebab kenapa abah tak teruskan hasrat tu. Tiada manusia yang sempurna, apapun saya terima kasih sangat kat abang sebab terima kami adik-beradik,” jelasnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube