BIDUANITA Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengakui berdepan tekanan dalam usaha mencari lagu hit atau killer song untuk artis di bawah syarikat pengurusannya, SN Legacy Sdn Bhd iaitu Ummi Umairah.
Siti, 46, berkata, beliau bagaimanapun bersyukur kerana mempunyai pasukan yang diketuai pengurusnya, Rozi Abdul Razak serta rakan-rakan komposer yang arif menilai corak vokal anak saudaranya itu.
“Betul, setiap kali saya mahu hasilkan album dan masuk studio untuk rakaman, kami memang mencari lagu yang boleh jadi ‘killer song’. Sama jugalah tekanan untuk Umairah.
Siti dalam usaha mencari lagu terbaik untuk kerjaya Umairah.
“Tapi tidaklah terlalu susah sebab saya ada pasukan di bawah Kak Rozi (pengurus) serta rakan-rakan pencipta lagu yang sudah tahu konsep suara Umairah sebelum kami tetapkan lagu untuknya.
“Jadi, kami memilih lagu berentak balada dengan feel muzik Indonesia yang memang kena dengan dia. Alhamdulillah, Farouk Roman (pencipta lagu Sayap) pun memang dikenali dengan penghasilan muzik sebegini untuk artis lain dan saya rasa Umairah sesuai dengan gaya lagu ciptaan Farouk.
“Kami belum cuba karya komposer lain termasuk lagu berentak rancak (fast song). Tapi insya-Allah, saya dan pasukan SN Legacy akan hasilkan yang terbaik untuk Umairah,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single baharu Umairah berjudul Sayap di sini, pada Rabu.
ARTIKEL BERKAITAN: Komen negatif tiada kesan buat Umairah, sudah dilatih jadi kuat sejak kecil
ARTIKEL BERKAITAN: Siti Nurhaliza nampak bakat luar biasa Umai sejak kecil, pesan anak saudara jangan abai pelajaran
Dalam pada itu, Siti yakin Umairah memiliki bakat luar biasa sekali gus berpotensi melebarkan sayap bukan sahaja di Malaysia, malah hingga ke pentas antarabangsa.
"Umairah ada masa depan yang cerah. Malah, kelebihannya lebih luas berbanding saya kerana dia fasih berbahasa Mandarin.
"Jadi peluangnya besar, perjalanan dia juga masih panjang. Mungkin ini boleh merealisasikan impian saya yang dulu tidak kesampaian.
Umairah muncul dengan single baharu berjudul Sayap.
"Saya pernah berangan mahu tembusi pasaran China selepas menang di Shanghai. Pasukan sudah bersedia ketika itu, tetapi kerana saya berkahwin, impian itu terhenti. Kini saya mahu mencari ruang dan peluang itu untuk Umairah," katanya.
Sementara itu, sempena cuti persekolahan Umairah atau nama sebenarnya Ummi Umairah Saiful Anuar, 14, melancarkan dan mempromosikan single Sayap.
Sayap boleh didengari di semua platform digital manakala video muzik rasmi ditayangkan menerusi saluran YouTube Universal Music Malaysia, bermula semalam.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube