SELEPAS kejayaan konsert GenKRU selama empat hari di Axiata Arena, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, KRU sekali lagi bakal menganjurkan persembahan berskala besar dalam Konsert The Finale: One More Time pada 22 November ini.
Memilih lokasi baharu di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, penganjur acara Icon Entertainment, Iman Tang menjanjikan konsep dan formasi persembahan berbeza dengan jangkaan kehadiran kira-kira 12,000 peminat.
Iman Tang berkata, pihaknya akan menjanjikan kelainan daripada segi konsep serta formasi persembahan selain menawarkan harga tiket lebih rendah.
KRU janjikan persembahan istimewa buat peminat.
“Ramai minta supaya konsert ini dibawa ke negeri lain, tapi faktor kos tiket dan produksi membuatkan kami kekal di Kuala Lumpur. Harga tiket akan diturunkan sedikit, tetapi kualiti produksi tetap dipertingkatkan.
“Saya juga suka Stadium Hoki Nasional kerana ia lokasi terbuka dan memberi lebih banyak idea kreatif untuk diterjemahkan.
“Insya-Allah kalau ada rezeki, kami cuba lokasi lebih besar selepas ini,” katanya ketika ditemui pada sidang media yang diadakan di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Isnin.
ARTIKEL BERKAITAN: GenKRU batal konsert di Pulau Pinang, tak mahu ‘downgrade’ persembahan
ARTIKEL BERKAITAN: Demi kepuasan, KRU tetap akan hasilkan album baharu… Tak cukup sekadar nyanyi lagu lama
Sementara itu, anggota KRU, Datuk Norman Abdul Halim berkata, persembahan kali ini akan memberi pengalaman berbeza kepada peminat.
“GenKRU sebelum ini berlangsung di lokasi tertutup, tapi kali ini kami mahu bawa ke lokasi terbuka dengan skala lebih besar.
“Kami benar-benar mahu ‘raise the bar’ dan ini satu penghormatan besar buat KRU,” ujarnya.
Tiket konsert akan mula dijual bermula Jumaat ini pada jam 2 petang dengan harga antara RM188 hingga RM558.
Pada awal Mei lalu, Konsert GenKRU dipentaskan selama empat malam di Axiata Arena, Bukit Jalil dan menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR).
Pengiktirafan tersebut diberi selepas 8,000 tiket konsert GenKRU terjual dalam tempoh satu jam.
Konsert yang dihadiri lebih 30,000 peminat itu turut menyaksikan kemunculan istimewa penyanyi jemputan termasuk kumpulan Elite, Feminin dan Adam AF.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube