MAHKAMAH Tinggi Syariah Shah Alam mengekalkan hak penjagaan dua cahaya mata pelakon Hafidz Roshdi masih lagi diberikan kepada bekas isterinya iaitu Nurul Shuhada Mat Shukri pada Selasa.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie, Zalinah Said selepas meneliti permohonan hadanah iaitu hak penjagaan penuh yang difailkan oleh Hafidz.
Menurut Zalina, mahkamah memutuskan Humairah, 8, dan Umar, 5, diserahkan kepada ibu kandung mereka untuk penjagaan sepenuhnya.
Bagaimanapun, Hafidz atau Muhammad Hafidz Roshdi, 29, masih diberikan hak lawatan dan bermalam dengan anak-anaknya ketika cuti persekolahan.
Hafidz berharap dapat bertemu dengan anak-anaknya dalam masa terdekat.
“Mahkamah memerintahkan plaintif diberikan hak untuk menghubungi mereka tanpa halangan daripada ahli keluarga mahu pun defendan.
“Pihak polis, Jabatan Imigresen Malaysia dan agensi berkaitan perlu memberi kerjasama bagi memberikan perintah ini dapat dipatuhi,” kata hakim syarie.
Dalam pada itu, Hafidz meluahkan rasa kecewa selepas gagal mendapatkan hak penjagaan penuh terhadap dua anaknya yang kali terakhir ditemui kira-kira dua tahun lalu.
Ujar Hafidz, dia tidak pernah mengabaikan serta menegaskan telah melakukan pelbagai usaha untuk bertemu dengan cahaya matanya yang kini menetap di luar negara.
ARTIKEL BERKAITAN: “Harap Humairah baca” - Hafidz Roshdi luah rindu, titip ucapan sempena ulang tahun anak
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Tak pernah abai tanggungjawab, Hafidz Roshdi usaha keras cari nafkah anak
“Sangat kecewa kerana mengharapkan keputusan berbeza namun saya menghormati keputusan mahkamah.
“Saya harap dapat jumpa anak-anak dalam masa terdekat, saya terlalu rindukan mereka," katanya dalam laporan berita Sinar Harian.
Sementara itu, peguam mewakili Hafidz, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff memberitahu pihaknya akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan Syariah, Shah Alam dalam masa terdekat.
Pada April 2023, Hafidz memfailkan hadanah penuh terhadap dua anaknya di Mahkamah Tinggi Syariah, Shah Alam.
Hafidz (kanan) kecewa tidak mendapat hak penjagaan penuh anak-anak.
Untuk rekod, Hafidz dan Shuhada mendirikan rumah tangga pada 30 April 2016 dan sah bercerai talak satu pada 27 Julai 2023.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Humairah, 8, dan Umar yang kini berusia 5 tahun.
Selepas bercerai, Shuhada memaklumkan dia bersama dua anaknya sudah berhijrah ke Melbourne, Australia untuk menyambung pengajian di sebuah institusi pendidikan.
Hafidz kemudian kembali mendirikan rumah tangga dengan Athira Yuhada pada 15 Disember 2023 dan mereka memiliki seorang cahaya mata perempuan.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube