LEBIH tiga dekad dalam industri seni, kumpulan trio adik-beradik KRU tidak pernah terfikir untuk menarik diri dalam mana-mana acara anugerah yang memberi pengiktirafan kepada penggiat seni tempatan.
Menurut anggota kumpulan KRU, Datuk Norman Abdul Halim, 53, mereka masih memilih untuk bertanding di acara anugerah hiburan kerana tidak mahu menghampakan peminat yang sudah sekian lama menjadi tulang belakang kepada perjalanan seni mereka.
Kata Norman, walaupun tidak lagi meletakkan kemenangan sebagai keutamaan, kehadiran mereka di acara seperti Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) adalah satu bentuk penghormatan kepada peminat yang tidak pernah jemu menyokong.
"Macam ABPBH kami tercalon dalam kategori Kumpulan Paling Popular, peminat fanatik kami akan marah kalau kami tak bertanding. Serius.
KRU tidak mahu menghampakan sokongan peminat.
"Kami kena hormat mereka (peminat). Kalau kami tak menang, peminat lagi kecewa daripada KRU sendiri.
"Kami okay saja (tak menang) tetapi peminat akan frust. Apapun kami kena faham," katanya kepada mStar.
Norman berkongsi perkara itu ketika ditemui pada sidang media Konsert The Finale: One More Time yang diadakan di Dadi Cinema, Pavilion Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam pada itu, Norman memberitahu dia dan dua adiknya lebih menumpukan kepada usaha meninggalkan legasi dan berkarya demi kepuasan diri serta peminat.
ARTIKEL BERKAITAN: KRU letak standard lebih tinggi, pilih lokasi ‘outdoor’ untuk konsert mega
ARTIKEL BERKAITAN: GenKRU batal konsert di Pulau Pinang, tak mahu ‘downgrade’ persembahan
"Terus terang kami katakan ada yang tanya tentang kejayaan kami menang di Anugerah Industri Muzik baru-baru ini. Kami sudah tidak mengejar anugerah sekarang.
"Ya kalau nak beri (anugerah) Alhamdulillah tapi kami tidaklah mengharap. Dalam masa sama kami tidak menganggap kemenangan anugerah itu sebagai satu pencapaian yang memberikan kepuasan.
"Bagi kami kepuasan itu apabila sudah buat yang terbaik dan kami gembira dengan penganjuran konsert-konsert KRU. Itu antara main goal kami," ujarnya.
Mengulas lanjut kenyataan itu, seorang lagi anggota KRU, Edry Abdul Halim turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang masih menaruh kepercayaan terhadap karya KRU.
Menurut Edry, dia memahami bahawa segelintir rakan artis mengharapkan kemenangan dalam anugerah sebagai kenangan manis sepanjang perjalanan mereka sebagai anak seni.
KRU kini memberikan fokus terhadap penganjuran konsert berskala besar.
Namun, Edry berpendapat bahawa menghasilkan karya bermutu dan diterima baik oleh peminat adalah pencapaian yang lebih bermakna.
"Saya pun faham ada ramai artis yang kecewa kalau tak menang anugerah. Semua artis mahu merasa kerana ia adalah satu trofi untuk dikenang bila kita bersara nanti.
"Tapi bagi saya tidak ada yang lebih besar daripada trofi (kemenangan) berbanding penerimaan peminat itu sendiri.
"Nasihat saya artis kena berkarya untuk diri sendiri dan peminat, bukan untuk mengejar apa-apa habuan (anugerah) dan sebagainya," katanya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube