SUASANA di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA 1) pada malam Selasa bertukar sebak apabila ahli keluarga kepada 23 sukarelawan Global Sumud Flotilla (GSF) dibawa menaiki bas persiaran khas untuk bertemu semula dengan insan tersayang yang baru pulang dari Turki.
Bas berkenaan tiba di KLIA 1 kira-kira jam 9.40 malam membawa waris kepada para sukarelawan yang baru dibebaskan selepas ditahan oleh tentera Israel sejak 2 Oktober lalu ketika menyertai misi kemanusiaan ke Gaza, Palestin.
Antara kelibat yang turut kelihatan menaiki bas ialah dua pelakon popular, Yusuf Bahrin dan Nadzmi Adhwa yang teruja untuk menyambut kepulangan isteri tercinta.
Ardell (kiri) dan Zizi sebelum ini ditahan oleh tentera Israel.
Nadzmi hadir bersama dua anaknya bagi menantikan kepulangan isteri yang juga aktres Ardell Aryana.
Aktor itu turut menarik perhatian apabila dilihat membawa jambangan bunga segar sebagai simbol kasih dan penghargaan buat Ardell yang disifatkannya sebagai wanita tabah serta berhati waja.
ARTIKEL BERKAITAN: Nadzmi Adhwa ‘naik hantu’, dakwa isteri ditumbuk dan dikasari sewaktu dalam tahanan… “Rupanya di hospital sekarang”
ARTIKEL BERKAITAN: Nadzmi Adhwa dedah keluarga dalam bahaya, mengaku sedang diperhati tali barut Israel… “Mereka ada ejen di sini”
Kehadiran dua selebriti itu menarik perhatian ramai di KLIA 1 yang turut dipenuhi ahli keluarga, rakan artis dan sukarelawan yang menanti ketibaan pasukan GSF.
Malah lebih 2,000 penyokong membanjiri KLIA 1 sejak jam 7.30 malam bagi meraikan kepulangan wira kemanusiaan negara itu dengan laungan takbir dan Free Palestine.
Pada Sabtu lalu, mStar melaporkan, kesemua 23 sukarelawan GSF dibebaskan selepas ditahan sejak 2 Oktober lalu dalam misi menghantar bantuan ke Gaza.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube