PEMENANG kategori Filem Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) bakal menerima sokongan khas daripada kerajaan melalui Dana Kandungan Kreatif (DKK) berjumlah RM1 juta.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, langkah itu diambil bagi memberi dorongan kepada penggiat industri menghasilkan karya yang lebih berkualiti dan mampu mencipta impak besar dalam pembangunan sektor perfileman negara.
"Kita bangga dengan kutipan filem box office yang dicapai tahun ini kerana ia menjadi petanda positif terhadap perkembangan industri filem negara, sekali gus menunjukkan sektor perfileman di Malaysia berkembang dengan baik.
Antara filem-filem yang dicalonkan dalam kategori Filem Terbaik FFM34.
"Saya berpandangan adalah wajar untuk kite menaikkan jumlah hadiah yang ditawarkan kerana dengan dana itu pemenang berpotensi menghasilkan filem yang benar-benar berkualiti dan memberi impak besar kepada industri," katanya.
Antara filem yang tercalon dalam kategori Filem Terbaik FFM34 termasuk Soloz: Game Of Life, Takluk: Lahad Datu, Reversi, Blood Brothers: Bara Naga dan Babah.
ARTIKEL BERKAITAN: Blood Brothers: Bara Naga raih 13 pencalonan di FFM34
ARTIKEL BERKAITAN: “Berjuta ringgit dibelanja, tapi kita tak hargai” - Erma Fatima minta calon Top 5 FFM34 hadir ke malam kemuncak
Dalam pada itu, Teo memaklumkan tahun 2025 amat penting bagi industri filem negara kerana kementerian akan membentangkan pindaan Akta Finas 1981 serta mengemas kini Dasar Perfileman Negara agar selari dengan perkembangan teknologi dan perubahan industri kreatif.
Beliau turut menggesa Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) supaya meneliti dan merancang dasar pembangunan industri filem dalam jangka pendek dan panjang bagi mencapai matlamat menjadikan Malaysia sebagai pusat perfileman serantau.
Mengulas lanjut mengenai tema FFM34, ‘Karya Kreatif, Sinema Dinamik’, Teo menyatakan sambutan amat menggalakkan dengan 41 pencalonan filem cereka, 26 filem pendek, dan 23 dokumentari diterima sepanjang tempoh permohonan dari 8 hingga 25 Julai lalu.
Dari kiri: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Teo Nie Ching dan Pengerusi Finas, Datuk Hans Isaac.
Sementara itu, satu program tribute khas juga akan diadakan sebagai penghargaan buat penggiat seni veteran tanah air.
Mereka yang diraikan ialah pelakon Datin Rosnani Jamil, Datuk Rahim Razali dan Ruminah Sidek serta pengarah Othman Hafsham.
FFM34 mengangkat tema Karya Kreatif, Sinema Dinamik yang bakal berlangsung pada 1 November ini di Angkasapuri , Kota Media, Kuala Lumpur dan disiarkan secara langsung di TV2.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube