suria

Sebak! Nadzmi Adhwa sambut Ardell dengan air mata selepas hampir dua bulan tidak bertemu

Nadzmi (kanan) sebak menyambut kepulangan isteri.

DETIK penuh emosi menyelubungi Balai Ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA 1) apabila pelakon dan aktivis Ardell Aryana selamat tiba kira-kira jam 11.30 malam selepas menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) ke Gaza.

Suaminya, pelakon Nadzmi Adhwa, dilihat tidak mampu menahan air mata sebaik melihat kelibat Ardell yang akhirnya muncul di hadapan ribuan penyokong. 

Dalam lautan manusia yang memenuhi balai ketibaan, Nadzmi pantas menerpa ke arah isterinya sebelum mengucup pipinya dan menyerahkan sejambak bunga segar sebagai tanda rindu setelah hampir dua bulan berpisah.

Momen pertemuan itu mencuri perhatian ramai yang turut terharu menyaksikan pasangan ini kembali bersatu selepas melalui detik mencemaskan sepanjang misi di Timur Tengah.

Nadzmi dan anak-anak tiba di KLIA 1 pada pukul 9.40 malam.

Dalam pada itu, Ardell sempat menzahirkan ucapan terima kasih kepada orang ramai yang hadir bagi menyambut kepulangan mereka.

“Terima kasih kerana sudi hadir menyambut kami semua. Saya tidak dapat berkongsi banyak ketika ini.

“Namun saya berharap semua dapat hadir ke Axiata Arena, Bukit Jalil esok bagi bersama-sama menunjukkan solidariti demi Palestin,” katanya.

Difahamkan hampir 2,000 penyokong membanjiri KLIA 1 seawal jam 7.30 malam dengan membawa bendera Palestin dan sepanduk tanda sokongan. 

ARTIKEL BERKAITAN: Nadzmi Adhwa tunggu Ardell dengan bunga, Yusuf turut naik bas persiaran… 2,000 sambut kepulangan pejuang GSF di KLIA

ARTIKEL BERKAITAN: Nadzmi Adhwa ‘naik hantu’, dakwa isteri ditumbuk dan dikasari sewaktu dalam tahanan… “Rupanya di hospital sekarang”

Laungan “Free Palestine” dan selawat kedengaran bergema di ruang legar lapangan terbang sejak jam 8 malam lagi.

Pada Sabtu lalu, semua 23 sukarelawan Malaysia yang ditahan oleh rejim Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan GSF ke Gaza akhirnya dibebaskan selepas ditahan sejak 2 Oktober lalu. 

Mereka kemudian dibawa ke Lapangan Terbang Ramon di Israel sebelum diterbangkan ke Istanbul, Turkiye dan pulang ke tanah air pada Selasa malam.

Kepulangan para aktivis ini turut disifatkan sebagai detik bersejarah oleh warganet yang membanjiri media sosial dengan ucapan tahniah dan doa selain menyifatkan mereka sebagai wira dan wirawati negara yang berani mengangkat suara rakyat Palestin di pentas dunia.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain