DUA anggota kumpulan Wings iaitu Black dan Eddie membuat kejutan apabila mengumumkan secara rasmi keluar daripada band itu berkuat kuasa serta-merta pada Rabu.
Kedua-dua mereka memaklumkan keputusan itu dibuat secara bersama dan tidak lagi menjadi sebahagian daripada kumpulan Wings.
Black dan Eddie tidak lagi bersama Wings.
“Kami, Azmi Hashim atau dikenali juga sebagai Black dan Samsaidi Long Idris atau dikenali Eddie, telah mengambil keputusan untuk mengundurkan diri dari kumpulan Wings berkuat kuasa serta-merta iaitu pada hari ini, Rabu bertarikh 8 Oktober 2025,” katanya dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Dalam masa sama, mereka turut memaklumkan tidak akan terlibat dalam Konsert Wings 40 Tahun Celebration yang dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur dan Singapura pada tahun ini.
ARTIKEL BERKAITAN:Mahu perlahankan kerjaya seni, Awie reda Wings ada vokalis baharu
ARTIKEL BERKAITAN:Awie pilih diam isu dengan JoBranko, canang cerita bukan cara selesai masalah
“Dengan ini kami juga ingin memaklumkan bahawa kami tidak akan terlibat dalam Konsert Wings 40 Tahun Celebration yang dijadualkan berlangsung pada 28 November 2025 di Kuala Lumpur dan 24 Disember 2025 di Singapura nanti,” jelasnya.
Setakat ini, kedua-dua mereka tidak menjelaskan secara terperinci mengenai punca pengunduran.
Susulan pengumuman dibuat Black (dram) dan Eddie (bass), Wings kini hanya dianggotai Awie (vokalis), Syam (gitar) dan Edrie (gitar).
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube