PELAKON Haneesya Hanee meluahkan rasa kecewa apabila mendakwa masih belum menerima bayaran bagi hasil penggambaran bersama sebuah jenama automotif tempatan sejak beberapa bulan lalu.
Haneesya atau nama sebenarnya Sharifah Haneesya Hanee Sayed Sahlan, 25, berkata sehingga kini individu yang dikenali belum melunaskan jumlah tertunggak sebanyak RM18,000.
Dalam satu hantaran di media sosial, Haneesya meminta bantuan orang ramai agar menghubungkan dirinya dengan individu berkenaan selepas pelbagai usaha dilakukan tidak berhasil.
Haneesya bengang dengan lelaki yang tidak menjelaskan baki bayaran hasil kerjanya.
“Kepada sesiapa mengenali lelaki ini, tolong sampaikan pada dia supaya bayar duit saya.
"Saya buat penggambaran dengan Proton, tapi sampai sekarang dia tak bayar. RM18,000 dia sapu seorang diri, belum masuk lagi peratusan yang dia patut dapat,” katanya.
Haneesya berkongsi perkara itu menerusi hantaran di Instagram miliknya pada petang Rabu.
Dalam pada itu, Haneesya memberitahu, dia sudah mengambil tindakan undang-undang dan menghantar surat tuntutan, namun individu berkenaan didakwa terus mengabaikannya.
ARTIKEL BERKAITAN:Haneesya Hanee tak kisah dikecam kerana kesilapan lalu, akui sudah berubah...“Saya bukan lagi budak 18 tahun itu”
ARTIKEL BERKAITAN:Pernah terdetik mahu balas dendam, Haneesya Hanee terkilan terima layanan double standard... “Ada selebriti dipuja ramai orang pergi kelab juga”
“Saya dah lantik peguam dan surat pun dah dihantar, tapi dia buat tak tahu. Proses ini ambil masa enam bulan.
"Saya sepatutnya dibayar sejak bulan Julai lagi,” jelasnya.
Tambah Haneesya, wang berjumlah RM18,000 itu sepatutnya digunakan untuk melangsaikan pelbagai komitmen, tetapi kini dia terpaksa menanggung beban kewangan akibat kelewatan bayaran tersebut.
Perkongsian Haneesya di Instagramnya.
“RM18,000 tu saya dah rancang nak guna untuk selesaikan banyak komitmen hidup. Tapi bila jadi begini, memang kecewa.
"Kalau kita buat orang macam ni, takkan berkat hidup. Saya sumpah, hidup dia takkan senang selama 18 tahun.
"Saya doa duit yang dia dapat akan keluar semula macam air. Semoga orang lain tak kena nasib sama macam saya,” ujarnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube