suria

“Hati nak tapi badan tak mampu” - Othman Hafsham reda tidak lagi aktif mengarah

Othman antara pengarah yang disegani.

PENGARAH Othman Hafsham memberitahu dia terpaksa menolak banyak tawaran untuk kembali ke set penggambaran disebabkan keadaan kesihatan yang semakin terbatas. 

Kata Othman, 86, dia sudah tidak mampu lagi untuk aktif dalam dunia pengarahan walaupun hatinya masih kuat ingin berkarya seperti dahulu.

“Kalau boleh memang nak mengarah, tetapi pergerakan saya sekarang terbatas. Berjalan pun perlu dipimpin.

Othman juga banyak terima tawaran sebagai tenaga pengajar. 

“Buat masa sekarang memang tak boleh, bukan sahaja kurang kekuatan fizikal, malah mental juga.

“Jadi inilah jawapan saya, walaupun hati kata ya tapi badan pula kata tidak,” katanya kepada mStar.

Othman berkongsi perkara itu ketika sesi forum Majlis Tribute Penghargaan kepada Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara yang diadakan di Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia  (FINAS), Hulu Kelang, Selangor pada petang Khamis.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemenang Filem Terbaik FFM34 bakal senyum lebar terima dana RM1 juta 

ARTIKEL BERKAITAN: Blood Brothers: Bara Naga raih 13 pencalonan di FFM34

Selain Othman, sesi forum tersebut turut menampilkan pelakon Ruminah Sidek dan pengacara Fedtri Yahya sebagai moderator.

Berkongsi lanjut, Othman turut menjelaskan beberapa pihak masih menghubunginya menawarkan peluang untuk kembali berkongsi ilmu dan pengalaman dalam bidang seni di beberapa universiti tempatan.

“Saya tak akan terima, walaupun saya nak buat tapi keadaan saya sekarang tidak mengizinkan.

Othman dan Ruminah tampil berkongsi kisah perjalanan dalam dunia seni. 

“Memang ada dapat beberapa tawaran daripada universiti untuk mengajar, tapi saya tak rasa saya boleh lakukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, ramai rakan industri dan hadirin pada majlis berkenaan menyatakan rasa hormat dan kagum terhadap sumbangan besar Othman yang dianggap antara pengarah paling berpengaruh dalam sejarah perfileman tempatan. 

Antara karya ikonik arahannya termasuk Mekanik, Adik Manja, Ujang dan Rahsia, yang sehingga kini kekal menjadi rujukan generasi pembikin filem baharu.

Sementara itu Majlis Tribute Penghargaan kepada Tokoh-Tokoh Perfileman Veteran Negara merupakan salah satu program sisipan sempena penganjuran Festival Filem Malaysia ke-34 (FFM34) yang dijadual berlangsung pada 1 November ini. 

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain