suria

Bekas kekasih Ammar Alfian dedah ada bukti kena pukul, dipaksa ‘sign’ perjanjian palsu

Qhaisha berkongsi fotonya mengalami kecederaan di Instagram miliknya.

ENGGAN terus hidup dalam ketakutan menjadi punca seorang wanita yang mendakwa bekas teman wanita Ammar Alfian tampil mendedahkan sikap sebenar aktor itu terhadapnya.

Qhaisha, 26,  mendakwa sepanjang setahun empat bulan mereka bersama, dia mengalami nasib malang kerana menjadi mangsa serangan fizikal dan mental aktor itu yang memberi alasan mahu mendidiknya.

Bukan cakap kosong, sebaliknya Qhaisha mendedahkan dia mempunyai bukti terhadap semua perlakuan buruk dan kekerasan dilakukan Ammar. 

Beberapa foto menunjukkan Qhaisha alami kecederaan.

"Saya ada bukti dia memukul saya... Selain gambar-gambar bahagian badan saya lebam, saya juga ada bukti pengakuannya memukul saya dengan alasan mendidik.

"Bukti ugutan juga saya masih simpan. Saya juga sudah buat laporan polis berhubung perkara ini.

"Ini termasuk laporan perubatan dan pengesahan doktor tentang beberapa kecederaan yang masih belum pulih," katanya ketika dihubungi mStar pada Selasa.

ARTIKEL BERKAITAN: “Gangster tak pukul perempuan bro!” - IG Ammar Alfian ‘diserang’ netizen

ARTIKEL BERKAITAN: Selisih faham 4 pagi, aktor popular didakwa tumbuk mata teman wanita

Qhaisha mendakwa kali terakhir Ammar, 38, memukulnya pada 7 April lalu sebelum hubungan mereka putus pada 19 April 2025.

Dalam pada itu, Qhaisha mendedahkan kes pukul melibatkan seorang wanita dan pelakon pada Julai tahun lalu yang pernah dilaporkan media adalah dirinya yang turut membabitkan Ammar.

Bagaimanapun kata Qhaisha, kes itu tidak diteruskan selepas dia termakan pujuk rayu Ammar sehingga membuatkan dia menarik balik laporan polis yang dibuat berkaitan kes berkenaan.

"Ammar sangat 'mahir' memberi janji manis dan dia tahu kelemahan saya yang mudah percaya kepadanya.

Ketika itu saya dalam keadaan ketakutan jadi saya ikutkan.

QHAISHA

BEKAS KEKASIH AMMAR ALFIAN

"Dia gunakan perkara itu sebagai senjata untuk buat saya kembali kepadanya dan apabila sesuatu berlaku selalunya saya dituduh sebagai punca.

"Kadang-kadang bukan kesalahan besar pun macam ‘upload’ foto di Instagram, perkara kecil macam itu pun dia boleh jadikan sebagai isu," katanya.

Dakwa Qhaisha lagi, dia juga pernah diperdaya Ammar dan seorang individu lain untuk menandatangani satu perjanjian agar dia tidak bersuara isu serangan itu.

Pun begitu, dia mula menyedari perjanjian itu adalah palsu dan sekadar bertujuan untuk menakut-nakutkannya apabila dia merujuk perkara itu kepada pihak guaman.

Qhaisha dakwa ada simpan segala bukti.

"Ketika itu saya dalam keadaan ketakutan jadi saya ikutkan sahaja permintaan menandatangani perjanjian tersebut.

"Tapi selepas dua bulan, saya hubungi semula firma guaman tersebut dan baru saya tahu sebenarnya mereka tak hantar pun perjanjian itu.

"Dalam perjanjian itu dia memaksa saya buat permohonan maaf secara terbuka dan suruh mengaku setiap percakapan saya adalah palsu," katanya.

Pada Isnin, menerusi hantaran di Instastory, wanita tersebut mendedahkan beberapa foto memaparkan kecederaan pada bahagian tubuh seperti muka, mata, leher dan tangan. 

Antara foto lain yang dikongsikan Qhaisha di Instagram.

Tanpa berselindung, wanita tersebut mendedahkan si pelaku dan turut memuat naik foto bersama Ammar sebagai bukti.

Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya iaitu Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja'afar seperti dilaporkan media mengesahkan menerima laporan oleh seorang wanita yang mendakwa dicederakan teman lelaki. 

Kejadian dilaporkan berlaku di sebuah kondominium di Damansara, Petaling Jaya. 

Difahamkan, laporan polis berkenaan dibuat di Balai Polis Tun Dr Ismail (TTDI) pada Isnin.  

Ammar dikaitkan dengan dakwaan mengasari wanita.

Ini bukan kali pertama Ammar dikaitkan dengan insiden pukul malah pada Julai tahun lalu, aktor itu turut dituduh memukul teman wanitanya berdasarkan beberapa petunjuk seperti umur dan bertubuh sasa.

Pun begitu, Ammar menyangkal tuduhan tersebut dalam ruangan komen di Instagram mStar yang turut melaporkan berita berkenaan. 

Ammar menganggap tuduhan tersebut sebagai keterlaluan hanya kerana dia sering membawa watak antagonis dalam drama serta filem lakonannya.

Sementara itu, pihak mStar akan mendapatkan maklum balas Ammar berhubung dakwaan tentang dirinya ketika ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain