PELAKON Edika Yusof akur dengan permintaan isterinya iaitu Nor Hidayah Yusri untuk bercerai.
Edika, 58, berkata, dia akan melafazkan cerai terhadap Hidayah pada sebutan ketiga kes penceraian mereka pada 5 Mei ini.
Jelas pelakon ini, dia sepatutnya menjatuhkan talak terhadap isterinya pada Rabu namun ia terpaksa ditunda memandangkan Hidayah dalam keadaan tidak suci.
"Saya sekarang ini sudah sampai ke tahap reda. Hari ini saya sedia lafazkan talak tetapi dia tidak suci.
"Jadi saya akan lafaz pada 5 Mei iaitu pada tarikh sebutan seterusnya," katanya kepada mStar.
Edika terpaksa menunda lafaz talak kerana isteri berada dalam keadaan tidak suci.
Edika berkongsi perkara itu ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Rabu selepas selesai prosiding penceraian mereka.
Ditanya mengapa dia enggan mempertahan rumah tangga, Edika menjelaskan isterinya berkeras untuk tidak menyelamatkan rumah tangga mereka.
“Dia sudah tidak mahu, jadi saya ikut sahaja katanya. Saya akan lafaz 5 Mei ini,” ujarnya.
Sementara itu, Edika menyangkal semua 10 alasan yang disenaraikan Hidayah sebagai alasan kritikal sehingga menyebabkan dia memfailkan cerai.
Ini termasuk tuduhan pernah mengasari dan menghina isterinya sendiri.
ARTIKEL BERKAITAN: Edika Yusof mahu jumpa kaunselor, serah laporan perubatan isteri kepada mahkamah
ARTIKEL BERKAITAN: Bertahan sebab jaga maruah keluarga, isteri senarai 10 alasan fail cerai terhadap Edika Yusof
“Saya tidak mengaku kesemua tuduhan itu sebab ia keterlaluan antaranya mengasari dan menghina.
“Dia kena tahu yang dia sakit daripada dulu sampai sekarang saya yang jaga. Saya bukan bangga tapi itu tanggungjawab saya,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, Edika memberitahu mereka sudah tiga bulan tidak tinggal sebumbung selepas Hidayah bertindak keluar tanpa izin dari rumah kelamin mereka.
Bagaimanapun dia tidak berhasrat memfailkan nusyuz kerana enggan memanjangkan isu di antara mereka.
"Kita sudah hidup bersama selama 22 tahun dan saya kalau boleh enggan panjangkan cerita walaupun dia keluar tanpa izin saya sebagai suami.
Hidayah memfailkan penceraian terhadap Edika pada Februari lalu.
"Saya berharap kami masih boleh berkawan seperti biasa demi anak-anak," katanya.
Pada Februari lalu, Hidayah mengejutkan banyak pihak apabila dia muncul di mahkamah memfailkan cerai terhadap Edika selepas 22 tahun berkahwin.
Edika dan Hidayah mendirikan rumah tangga hampir 22 tahun dan memiliki dua orang cahaya mata iaitu Fardeen Nasrulhaq, 21, dan Fareena Nurulhaq, 20 tahun.
Hidayah juga memiliki seorang lagi cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu iaitu Nazirul Afiq, 27.
Untuk rekod, Hidayah mengalami lumpuh separuh badan akibat demam panas sejak 19 tahun lalu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube