TIDAK lagi berselindung, pelakon Linda Hashim mendedahkan dia menjadi mangsa keganasan rumah tangga suaminya sendiri iaitu aktor Beego sehingga menyebabkan dia pilih jalan penceraian.
Linda atau Norhazlinda Hashm, 41, berkata, kejadian seumpama itu sudah berlarutan sejak 2016 dan kali terakhir pada Oktober tahun lalu.
Malah kata Linda, dia pernah membuat sebanyak empat laporan polis terhadap Beego berkaitan keganasan rumah tangga.
“Selama ini saya cuba mendiamkan diri tetapi sebenarnya saya ada membuat empat laporan polis dan tiga laporan hospital berhubung keganasan rumah tangga.
Linda (kanan) dikasari suami sejak 2016.
“Pertama kali berlaku pada tahun 2016 dan yang terakhir pada Oktober tahun lalu sebelum saya keluar rumah. Selepas itu saya terus buat laporan polis,” katanya kepada mStar.
Linda berkongsi perkara tersebut selepas selesai prosiding lantikan Jawatankuasa Pendamai (JKP) berhubung permohonan cerai yang difailkan terhadap Beego di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur pada Rabu.
Menyimpan segala bukti dikasari Beego, dia bagaimanapun enggan memanjangkan isu berkenaan dan hanya berharap dapat bercerai secara baik.
Bagaimanapun Linda tidak teragak-agak mendedahkan semua bukti sekiranya Beego cuba memanipulasi kisah rumah tangga mereka.
ARTIKEL BERKAITAN: Beego bawa ibu wakil JKP, Linda Hashim buka ‘fail’ baru jika suami enggan cerai
ARTIKEL BERKAITAN: Kes cerai Beego dan Linda Hashim tiada penyelesaian, mahkamah arah lantik wakil Jawatankuasa Pendamai
“Bukan kes keganasan sahaja yang saya nak tegaskan. Ada lagi perkara lain seperti gangguan mental dan gangguan terhadap anak-anak. Cukuplah saya buka satu sahaja.
“Tetapi kalau sana (Beego) cungkil, saya tidak teragak-agak mendedahkan semua,” jelasnya.
Lama bertahan, bagi Linda proses cerai di mahkamah adalah cara terbaik untuk menamatkan segala kemelut di antara mereka.
Bahkan Linda sedia menjalinkan hubungan baik dengan Beego selepas mereka bercerai.
Selama ini saya cuba mendiamkan diri tetapi sebenarnya saya ada membuat empat laporan polis.
LINDA HASHIM
PELAKON
“Saya tidak mahu cerai secara fasakh atau sebagainya. Biarlah cerai secara baik. Berbelas tahun saya tahan, di sinilah tempatnya (mahkamah) yang terbaik.
“Kalau buka kes lain akan jadi lebih besar. Harap dapat selesaikan secara baik. Yang salah tetap salah.
“Kami masih boleh berkawan selepas cerai. Saya pun baik dengan keluarga mentua. Kalau boleh tidak mahu putuskan silaturahim,” jelasnya.
Linda memfailkan cerai terhadap Beego pada awal Januari lalu dengan alasan mereka sudah tiada persefahaman.
Beego (kanan) didakwa melakukan kekasaran terhadap isteri.
Sebelum itu, pada 27 Mac 2023, pasangan ini pernah bercerai talak satu sebelum sepakat kembali rujuk pada 9 April 2023.
Linda bagaimanapun mendedahkan mereka kemudiannya bercerai buat kali kedua selepas beberapa bulan rujuk namun kembali bersama tidak lama selepas itu.
Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Jun 2013.
Hasil perkahwinan tersebut, pasangan ini dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 11, Anggun Cassandra, 10, dan Indah Camelia yang kini berusia enam tahun.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube
TONTON VIDEO PILIHAN!