ISTERI pelakon Edika Yusof iaitu Nor Hidayah Yusri mendedahkan suaminya itu sudah banyak kali melafazkan talak terhadapnya.
Bagaimanapun selepas perkara itu dirujuk ke mahkamah, Edika, 58, tidak mengaku akan perbuatannya itu malah sanggup bersumpah.
Disebabkan itu juga, Hidayah berkata, dia mengambil keputusan untuk meneruskan dengan permohonan cerai.
Fardeen menemani Hidayah untuk prosiding permohonan cerai.
“Memang saya buat permohonan cerai tetapi ini bukan kali pertama.
“Sebelum ini saya pernah datang ke mahkamah untuk membuat pengesahan lafaz talak yang dibuat banyak kali.
“Disember tahun lalu saya ada memfailkan kes pengesahan lafaz cerai tetapi Edika menafikan semuanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Bertahan sebab jaga maruah keluarga, isteri senarai 10 alasan fail cerai terhadap Edika Yusof
ARTIKEL BERKAITAN: Bakal lafaz talak 5 Mei, Edika Yusof jawab tuduhan kasari dan hina isteri
“Dia turut mengangkat sumpah laknat pada Januari lalu dan disebabkan itu saya teruskan dengan permohonan cerai,” katanya kepada mStar.
Hidayah mendedahkan perkara itu ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada Rabu selepas prosiding permohonan cerai selesai.
Sementara itu, anak sulung Hidayah dan Edika iaitu Fardeen Nasrulhaq, 21, yang turut hadir menemani ibunya berkata, perceraian merupakan jalan terbaik buat ibu dan ayahnya.
Memang saya buat permohonan cerai tetapi ini bukan kali pertama.
NOR HIDAYAH YUSRI
ISTERI EDIKA YUSOF
“Selagi saya masih hidup saya boleh jaga dia (ibu). Tiada apa yang boleh saya cakap saya rasa jalan ini yang terbaik buat ibu dan ayah saya.
“Kedua-duanya akan kurang tekanan dan saya pun sudah biasa dari kecil (jaga ibu) jadi untuk saya tiada beza,” ujarnya.
Hidayah memfailkan cerai terhadap Edika pada pertengahan Februari lalu dan kes itu akan disebut semula pada 5 Mei ini.
Hidayah sebelum ini mengemukakan 10 alasan untuk bercerai dengan Edika.
Edika dan Hidayah mendirikan rumah tangga pada 2003 dan selain Fardeen mereka juga dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Fareena Nurulhaq, 20 tahun.
Hidayah juga memiliki seorang lagi cahaya mata hasil perkahwinan terdahulu iaitu Nazirul Afiq, 27 tahun.
Untuk rekod, Hidayah mengalami lumpuh separuh badan akibat demam panas sejak 19 tahun lalu.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube