suria

Yassin mengaku tak tahu peraturan, kursus umrah melalui YouTube… ditahan kerana rokok

Yassin terlihat berisi semasa tiba di Malaysia.

TEKA-TEKI kehilangan pelawak Yassin (Senario) akhirnya terjawab apabila dia membuka mulut mengenai kisahnya ditahan di Jeddah, Arab Saudi enam bulan lalu.

Yassin atau nama sebenarnya Yassin Yahya, 47, bagaimanapun menyangkal dakwaan dia ditahan disebabkan penyalahgunaan dadah seperti yang diperkatakan sebelum ini. 

Menurutnya ia hanyalah salah faham melibatkan pihak berkuasa negara berkenaan. 

Yassin muncul bersama Apek untuk berkongsi cerita penahananya.

“Sebelum berlepas, saya terfikir bagaimana nak merokok di sana. Jadi saya beli rokok kertas, ‘grinder’ dan sekotak rokok di lapangan terbang.

“Sampai di Jeddah, beg saya diimbas ketika transit ke Madinah. Kastam nampak sesuatu dan arahkan buka beg. Dia pegang ‘grinder’ yang ada lambang marijuana dan mencurigakan, terus mereka selongkar semua," katanya.

Yassin mendedahkan perkara itu menerusi temu bual di Darkcast yang dimuat naik di saluran YouTube pada malam Isnin. 

ARTIKEL BERKAITAN: Yassin Senario muncul dalam ‘live’ TikTok, jawab pertanyaan hilangkan diri

ARTIKEL BERKAITAN: Lama tidak bertemu, Yassin bakal muncul bulan depan bersama Senario

Menurut Yassin, perasaan gembiranya yang dapat menunaikan umrah bersama 24 rakan artis veteran lain bertukar menjadi mimpi ngeri apabila ia berakhir di lokap khas tahanan dadah.

Bercerita lanjut, kata ketika itu dia sendiri tidak pasti akan kesalahan sebenar sehingga ditahan pihak berkuasa. 

“Selepas soal siasat, saya ingat nak dilepaskan, tapi saya digari dan dibawa naik kenderaan polis ke balai di Jeddah. Beg dan telefon diambil. Saya dimasukkan ke sel tahanan untuk kes dadah.

“Saya tak tahu apa salah saya. Kalau lambang pada barang boleh jadi isu, patutnya saya dah ditahan sejak di Malaysia. Saya cuma berserah dan zikir dalam hati, minta Allah tolong,” jelasnya.

Saya tak tahu peralatan apa yang tak boleh.

YASSIN SENARIO

PELAWAK

Dalam pada itu, Yassin mengakui kesilapannya tidak mengikuti kursus umrah sehingga membawa peralatan yang tidak sepatutnya.

"Saya tak sempat pergi kursus. Saya belajar guna YouTube saja dalam masa singkat. 

"Saya tak tahu peralatan apa yang tak boleh bawa sebab tiada rujukan kerana saya tak pergi kursus apa semua. Di situlah kesilapan saya kerana terlepas pandang," luahnya.

Sejak akhir tahun lalu, ketiadaan Yassin dalam program melibatkan Senario sering menjadi tanda tanya peminat.

Apek antara rakan yang kerap berkongsi berkembangan Yassin.

Apatah lagi sebelum ini media melaporkan penangkapan seorang pelawak di Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah pada Oktober tahun lalu kerana memiliki ganja.

Ramai mengaitkan pelawak ditahan itu adalah Yassin namun anggota Senario sendiri memilih mengunci mulut mengenai berita itu.

Pelawak tersebut dilaporkan perlu menjalani hukuman penjara selama enam bulan di Arab Saudi dan sepatutnya pulang ke Malaysia pada April lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain

Sheqal meninggal dunia