PENYANYI Azharina bengang apabila terdapat individu tidak bertanggungjawab menuduh dia berjumpa bomoh di Thailand selepas kerjayanya dikatakan semakin malap.
Azharina, 39, berkata, tuduhan yang mendakwa dia berdepan kejatuhan sehingga dimuat naik di saluran Youtube adalah satu fitnah dan berniat jahat untuk menjejaskan nama baiknya.
“Saya menafikan sepenuhnya semua dakwaan palsu dan tidak berasas ini. Kandungan yang disebarkan bukan sahaja bersifat fitnah, malah direka-reka dengan niat untuk memburukkan nama baik saya dan keluarga.
Azharina difitnah menerima rawatan daripada bomoh di Thailand.
“Ini merupakan satu bentuk serangan ke atas keperibadian saya sebagai wanita, ibu, anak serta sebagai figura awam dalam industri hiburan tanah air,” katanya menerusi satu kenyataan kepada mStar.
Menurut Azharina, dia menyedari kewujudan video bertajuk Kesedihan Yang Mendalam tersebut pada Isnin lalu ketika berada di rumah rakannya.
Menerusi video tersebut, individu berkenaan mendakwa Azaharina mendapatkan rawatan daripada bomoh di Thailand.
ARTIKEL BERKAITAN: [V] Penyakit misteri akhirnya terjawab, Azharina sahkan hidap kanser
ARTIKEL BERKAITAN: Sakit kanser bukan alasan Azharina duduk diam tak keluar cari rezeki, kuatkan diri fikir positif
Dia juga didakwa mengasingkan diri daripada masyarakat selepas rawatan itu malah menggambarkan kerjaya penyanyi itu semakin tenggelam.
Tidak hanya itu, dia juga bengang apabila gambar anak sulungnya iaitu Rahmat turut menjadi bahan fitnah.
"Saya amat terkilan dan marah apabila gambar anak saya, digunakan dalam video itu.
"Ini melampaui batas. Mereka bukan sahaja menyerang saya, malah cuba mengheret anak saya yang tidak bersalah ke dalam kancah fitnah ini. Sebagai seorang ibu, saya tidak akan berdiam diri.
"Penyebaran berita palsu ini juga mengganggu ketenteraman emosi, malah memberi kesan buruk kepada reputasi saya,” tegasnya.
Disebabkan penyebaran itu, dia bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Bukit Jalil pada pagi Isnin.
Azharina mendakwa ada individu sengaja mahu menjatuhkannya.
Dia hadir bersama penyanyi Salamiah Hassan untuk membuat laporan polis.
"Saya berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap video dan pemilik saluran tersebut.
“Tindakan undang-undang akan saya ambil demi melindungi maruah diri serta keluarga,” ujarnya.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube