PELAKON dan penyanyi, Naim Daniel menyifatkan dakwaan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun adalah satu tuduhan berat.
Naim atau Muhammad Naim Daniel Baharin, 28, yang ditemui di luar pekarangan Mahkamah Sesyen Putrajaya pada Selasa berkata, dia menyerahkan kes yang berlaku kepada sistem perundangan dan bertekad membersihkan namanya.
"Saya baru sahaja didakwa untuk satu tuduhan berat dan saya faham semua ada persoalan, banyak tanda tanya dan mengejutkan setengah pihak juga.
"Buat masa sekarang, saya belum bercadang mengulas panjang mengenai perkara ini kerana masih di peringkat awal.
Naim menyerahkan kes yang berlaku kepada istem perundangan.
"Saya juga tidak ingin ada sebarang campur aduk yang mungkin boleh mengganggu perbicaraan nanti.
"Saya serahkan semua kepada sistem keadilan dan saya komited memberi kerjasama penuh untuk membersihkan nama," katanya.
Dalam masa sama, Naim kini mahu fokus kepada kesejahteraan dirinya.
"Saya harap dapat doa daripada semua orang.
ARTIKEL BERKAITAN: Naim Daniel hadir ke mahkamah, hadapi pertuduhan kes amang seksual
ARTIKEL BERKAITAN: Naim Daniel mengaku tak bersalah lakukan amang seksual remaja perempuan 17 tahun
"Saya mahu fokus pada 'well being' saya sahaja. Saya sihat terima kasih sebab tanya. Alhamdulillah keadaan saya baik dan tidak melatah.
"Buat masa ini, saya mahu tenangkan diri dahulu," jelasnya.
Dalam pada itu, Naim meluahkan rasa syukur kerana menerima sokongan baik daripada semua pihak terutama kelurga.
"Keluarga saya Alhamdulillah semua okay, tiada masalah dan mereka doakan yang terbaik," ujarnya.
Saya belum bercadang mengulas panjang mengenai perkara ini kerana masih di peringkat awal.
NAIM DANIEL
PENYANYI/PELAKON
Pagi tadi, Naim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Putrajaya pada Selasa atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan.
Naim atau Muhammad Na'im Daniel Baharin, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.
Mengikut pertuduhan, selebriti terbabit didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi tujuan seksual terhadap mangsa berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, pada pukul 8.56 malam, 19 Mei lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum sebat.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Kes akan disebut semula pada 18 Ogos depan.
Naim mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Putrajaya pada Selasa.
Pada 3 Jun lalu kecoh apabila seorang selebriti ditahan polis selepas didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di sebuah hotel di Selangor.
Mangsa berusia 17 tahun itu dikatakan mula berkenalan dengan selebriti terbabit di sebuah kafe yang juga tempat kerjanya.
Difahamkan kejadian cabul itu berlaku ketika kali pertama pertemuan antara suspek dan remaja terbabit.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube