PELAKON dan penyanyi terkenal, Naim Daniel mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Putrajaya pada Selasa atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja perempuan.
Naim atau Muhammad Na'im Daniel Baharin, 28, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datin M Kunasundary.
Mengikut pertuduhan, selebriti terbabit didakwa melakukan amang seksual fizikal bagi tujuan seksual terhadap mangsa berusia 17 tahun di sebuah hotel di Petaling Jaya, Selangor, pada pukul 8.56 malam, 19 Mei lalu.
Naim didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKKSTKK) 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan boleh dihukum sebat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Izzah Shaharuddin, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Irwan Sumadi dan Amirul Ridzuan Hanif.
Timbalan Pendakwa Raya menawarkan jaminan sebanyak RM15,000 dengan syarat tambahan pasport ditahan sementara serta tidak mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan dengan apa cara sekalipun.
ARTIKEL BERKAITAN: Naim Daniel hadir ke mahkamah, didakwa hadapi pertuduhan kes amang seksual
ARTIKEL BERKAITAN: Artis popular didakwa cabul remaja selepas pertama kali jumpa, mula kenal dua bulan lalu
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Kes akan disebut semula pada 18 Ogos depan.
Pada 3 Jun lalu kecoh apabila seorang selebriti ditahan polis selepas didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang remaja perempuan.
Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di sebuah hotel di Selangor.
Mangsa berusia 17 tahun itu dikatakan mula berkenalan dengan selebriti terbabit di sebuah kafe yang juga tempat kerjanya.
Difahamkan kejadian cabul itu berlaku ketika kali pertama pertemuan antara suspek dan remaja terbabit.
Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube